Alor Gajah: Empat sekeluarga terperangkap lebih setengah jam selepas kereta dinaiki dihempap pokok mangga sebesar dua pemeluk yang tumbang di Jalan Masjid Tanah-Sungai Udang, Masjid Tanah, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian yang berlaku ketika hujan lebat pada jam 11.15 malam, pemandu Proton Iswara berusia 30 tahun cedera di kepala dan badan manakala isterinya berusia awal 20-an bersama dua anak berusia antara tujuh dan 10 tahun tidak cedera.

Difahamkan, mangsa cuba memecut laju selepas menyedari sebatang pokok mangga di kiri jalan hampir tumbang, namun gagal mengelak lalu bumbung kenderaan itu dihempap pokok menyebabkannya terbabas.

Sumber berkata, ketika kejadian, keluarga itu dalam perjalanan ke Masjid Tanah sebelum pokok di sebelah kiri jalan tumbang dan menghempap kenderaan mereka.

“Empat sekeluarga terbabit terperangkap di dalam kenderaan selepas satu dahan pokok menghempap bahagian atas bumbung.

“Mereka bagaimanapun bernasib baik apabila pengguna jalan raya lain yang menyedari kejadian itu menghulurkan bantuan.

“Semua mangsa dapat dikeluarkan dalam masa beberapa minit dan pemandu kenderaan itu mengalami kecederaan ringan di kepala dan badan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah Shaari Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.19 malam daripada orang ramai mengenai kejadian terbabit.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, semua mangsa sudah dikeluarkan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya melakukan kerja pembersihan di laluan terbabit dan mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Oktober 2014 @ 5:14 AM