PASUKAN APM memotong dahan pokok tumbang yang menghempap kenderaan di ibu negara. FOTO Ihsan APM
PASUKAN APM memotong dahan pokok tumbang yang menghempap kenderaan di ibu negara. FOTO Ihsan APM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Hujan lebat berserta angin kencang di beberapa lokasi di Lembah Klang bermula 5.30 petang tadi, menyebabkan beberapa tempat terkesan dengan kejadian pokok tumbang.

Pegawai Pertahanan Awam Kuala Lumpur, Mejar (PA) Ahmad Junaidi Dukut Soerharto berkata, pihaknya menerima laporan sebanyak 14 kenderaan di kawasan Kepong terjejas akibat dihempap pokok tumbang.

"Satu kejadian pokok tumbang dilaporkan menghempap sebuah rumah dan kenderaan di Jalan 26/62B di Bandar Manjalara namun tidak membabitkan mangsa.

"Kawasan lain yang terkesan dengan kejadian pokok tumbang ialah di Sekolah Kebangsaan Kepong Baru apabila pokok menghempap kira-kira 30 kereta juga tidak membabitkan mangsa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, turut terkesan ialah kawasan di Jalan 1/60A, Kg Segambut Tengah; Jalan Manjalara; Jalan Lang Emas; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepong Baru; Jalan Besar Desa Park City dan SMK Taman Bukit Maluri.

"Selain itu turut berlaku kejadian pokok tumbang adalah di Jalan Bengkulu, Kepong; Jalan Udang Siar, Tmn Sri Segambut; Jalan Burung Tekukur, Taman Bukit Maluri; Desa Park City; Jalan Burung Tekukur dan Jalan 31/39, Taman Petaling," katanya.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima tujuh laporan pokok tumbang yang menghempap kenderaan.

"Kejadian pokok tumbang dilaporkan berlaku di Jalan 2/61, Bukit Segambut; Bandar Manjalara (dua kes); Taman Bukit Maluri; jalan Udang Kapas di Taman Sri Segambut; Taman Sri Kepong dan Kepong Baru.

"Semua kejadian tidak membabitkan sebarang mangsa dan kerja-kerja pembersihan kini sedang giat dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 11:58 PM