SUASANA sekitar Taman Halaman Indah sempena kempen PRK Sungai Bakap. FOTO Bernama
SUASANA sekitar Taman Halaman Indah sempena kempen PRK Sungai Bakap. FOTO Bernama
BERNAMA

Nibong Tebal: Polis Pulau Pinang meluluskan 20 permit kempen bergerak, ceramah dan tinjauan mesra bagi parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Bakap pada hari kesembilan kempen hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata, secara keseluruhan, sebanyak 81 permit telah diluluskan sejak hari pertama kempen pada 22 Jun lalu dan tiada permit yang ditolak.

"Berbaki enam hari lagi tempoh berkempen sebelum menjelang hari mengundi pada 6 Julai nanti, polis menasihatkan semua orang agar tidak menimbulkan provokasi kepada mana-mana pihak semasa berkempen termasuk khianat atau merosakkan bahan kempen pilihan raya.

"Pihak polis akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana parti politik atau individu yang melanggar undang-undang serta peraturan yang sedang berkuat kuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

PRK Dun Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding Sabtu lepas hingga 11.59 malam, 5 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 4:47 PM