PEMPENGARUH TikTok Abang Tesla memohon maaf kepada golongan lelaki yang terkena tempias kerana tindakannya berkahwin kali kedua. FOTO Tangkap Layar TikTok Abang Tesla
PEMPENGARUH TikTok Abang Tesla memohon maaf kepada golongan lelaki yang terkena tempias kerana tindakannya berkahwin kali kedua. FOTO Tangkap Layar TikTok Abang Tesla
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Selepas dikecam hebat, pempengaruh TikTok yang dikenali sebagai Abang Tesla memohon maaf kepada golongan suami yang terkena tempias dan menjadi 'mangsa' kemarahan isteri berikutan tindakannya berkahwin kali kedua.

Abang Tesla membuat permohonan maaf itu menerusi video berdurasi 44 saat yang dimuat naik di akaun TikTok dan Instagram (IG) miliknya hari ini.

Menerusi perkongsian di TikTok, Abang Tesla memuat naik video itu dengan kapsyen 'Ada yang kena bebel tak berhenti ke tu?.

Sementara di IG pula, dia meletakkan kapsyen 'Dengar cerita bebelan kaum hawa 'non-stop' (tidak berhenti) kepada golongan lelaki.

Bagaimanapun, tiada permohonan maaf dibuat kepada kaum hawa yang tersinggung dengan tindakannya dan lelaki itu juga tidak mengulas lanjut mengenai isu tular membabitkan dirinya.

"Pertama sekali, saya nak minta maaf kepada lelaki sebab saya nampak, disebabkan video saya, ramai kena marah dengan bini (isteri).

"Dengar lagu 'Kau Tigakan Cintaku' pun kena marah dengan bini.

"Minta maaf kepada kaum lelaki, saya kahwin dua, korang (kalian) yang kena marah," katanya dalam video berkenaan.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video di TikTok dimuat naik Abang Tesla yang mengumumkan dirinya sudah bernikah untuk kali kedua.

Menerusi kapsyen dalam video yang dimuat naik di platform berkenaan, Abang Tesla memberitahu yang perkahwinan keduanya itu mendapat restu isteri pertamanya.

"Tiga jam sebelum melangsungkan pernikahan kedua, solat Subuh sama-sama sambil diiringi air mata.

"Mungkin ramai yang berkahwin tanpa pengetahuan isteri, tapi saya tidak. Saya tidak akan membelakangi isteri saya," katanya.

Menurut Abang Tesla, isterinya reda dan sangat menjaga aibnya sebagai seorang suami.

"Tipulah kalau dia tidak sedih, tapi saya ambil masa untuk pujuk hati dia mengenai hasrat saya itu.

"Isteri yang baik adalah isteri yang taat kepada suami dan menjaga maruah suami," katanya lagi.

Abang Tesla berkata, dia terus berjumpa dengan isteri pertamanya sebaik sahaja selesai majlis akad nikah bersama isteri kedua.

"Selesai nikah saya terus cari isteri pertama untuk make sure (pastikan) dia tidak emosi.

"Poligami adalah sesuatu yang Allah beri untuk memperbetulkan apa yang silap. Jangan disebabkan orang lain, poligami dipandang hina di mata manusia," katanya.

Dalam hantaran berasingan, Abang Tesla memuat naik video menunjukkannya dan isteri pertama menghabiskan masa bersama.

Bagaimanapun, perkongsian video berkenaan menerima banyak kecaman terutama daripada pengikut wanitanya yang rata-ratanya kecewa selain menuduh Abang Tesla sebagai penunggang agama.

Harian Metro cuba menghubungi Abang Tesla untuk mengulas perkara itu namun sehingga kini belum mendapat sebarang balasan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 3:59 PM