KHAIRUL Aming. FOTO arkib NSTP
KHAIRUL Aming. FOTO arkib NSTP
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Pakar kesihatan, Dr Rafidah Abdullah memohon maaf kepada Khairul Aming di atas kenyataan kononnya pempengaruh media sosial itu tidak mengutamakan kesihatan dalam masakan.

Teguran dalam bentuk ciapan yang ditujukan kepada Khairul Aming tular dan mendapat pelbagai reaksi dengan segelintir netizen kurang senang dan tidak bersetuju dengan pandangan Dr Rafidah.

"Saya mohon maaf kerana saya nampak ramai yang salah anggap yang saya menuduh Khairul Aming merosakkan kesihatan rakyat Malaysia, dan dua ayat terakhir saya sepatutnya di perenggan yang lain.

"Bagaimanapun, harapan saya video atau 'content' mana-mana 'influencer' (pempengaruh) ada tertera kandungan kalori," ciapnya dalam bebenang ciapan di Twitter.

Menurut Dr Rafidah, beliau tidak menuduh sesiapa sebaliknya kesihatan adalah tanggungjawab diri individu.

"Saya tidak menuduh siapa pun. Kesihatan anda adalah tanggungjawab diri anda.

"Tapi saya perlu memberi pendapat profesional saya tentang apa yang saya lihat.

"Alhamdulillah sekarang ramai dah sedar sambal sangat banyak kalori. Nak makan, makan secubit dua sudah memadai," ciapnya.

Terdahulu, tular di Twitter apabila Dr Rafidah memuat naik ciapan Khairul Aming untuk mengurangkan penggunaan minyak masak dan memperbanyakkan resipi masakan yang sihat sekali gus peka dengan masalah rakyat Malaysia.

Dr Rafidah membuat teguran itu kerana enggan kesihatan makin teruk dan risau penggunaan minyak masak banyak mampu mempengaruhi kesihatan masyarakat negara ini yang rata-rata mengikuti perkembangan Khairul Aming menerusi video masakan 30 hari, 30 resipi bersempena bulan Ramadan.

Khairul Aming bagaimanapun tidak melatah sebaliknya menerima teguran daripada Dr Rafidah dan pandangan netizen dengan hati terbuka.

Menerusi video berdurasi empat minit 35 saat dimuat naik di TikTok, Khairul Aming menjelaskan kaedah ditunjukkan dalam video masakan adalah realiti sebenar cara penyediaan sesuatu makanan.

Katanya, terpulang kepada mereka yang mencuba untuk mengubah atau mengurangkan penggunaan bahan tertentu mengikut citarasa masing-masing.

Dia juga berharap isu yang tular itu tidak berlarutan dan menjadi punca perbalahan dalam kalangan netizen dalam Ramadan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 5:36 PM