Johari Abdul (kanan) dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Ramli Mohd Nor pada Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini.
Johari Abdul (kanan) dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Ramli Mohd Nor pada Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini.
Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul meminta semua pihak bersabar mengenai status enam Ahli Parlimen Bersatu yang terhenti keahliannya secara serta-merta, baru-baru ini.

Johari berkata, mengikut undang-undang, beliau mempunyai 21 hari untuk mengkaji notis yang diserahkan oleh Ketua Whip Bersatu yang juga Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

"Saya baru dapat surat dari Beluran (Ronald) pada Jumaat yang lalu. Mengikut undang-undang, saya ada 21 hari untuk mengkajinya.

"Insya-Allah selepas saya mempunyai semua jawapan, saya akan panggil anda semua (wartawan) untuk beritahu. Jadi, tolong bersabar," katanya di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pameran Seni Sempena Ulang Tahun ke-55 Hubungan Diplomatik Malaysia-Romania.

Ronald sebelum ini dilapor mengemukakan notis kepada Johari meminta supaya enam kerusi Parlimen diwakili wakil rakyatnya yang sebelum ini menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dikosongkan.

Beliau berkata, sebagaimana Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan perenggan 3, Yang Dipertua Dewan Rakyat perlu memastikan berlakunya kekosongan luar jangka dalam masa 21 hari selepas notis diterima.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 5:18 PM