Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan ketika Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ikrar taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan ketika Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ikrar taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Pembangkang hari ini bertindak keluar dewan selepas mendakwa kerajaan tidak mengikut aturan urusan mesyuarat di Dewan Rakyat.

Perkara itu terdahulu tercetus apabila Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) bertindak bangun mempertikai dengan menyatakan mereka terkejut kerana penerangan menteri disenaraikan hari ini tanpa adanya sebarang notis diberikan.

"Pada hari ini kami, Ahli Parlimen berada dalam keadaan terkejut tanpa sebarang notis bahawa penerangan menteri telah disenaraikan pada tempoh ini.

"Kami diberitahu Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) nak ucapkan junjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong lepas (Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong (Sultan Ibrahim). Saya rasa ini tidak bertepatan dengan aturan.

"Pada minggu ini dan minggu depan, perbahasan junjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong oleh pembangkang dan kerajaan," katanya semasa sesi perbahasan titah diraja.

Mengulas lanjut, Takiyuddin mempersoalkan mengapa anggota pentadbiran dan Anwar tidak mengucapkan perkara itu semasa minggu ketiga yang akan dijawab oleh menteri.

"Minggu yang ketiga ialah jawapan Menteri. Kenapa di situ tidak digunakan oleh anggota pentadbiran dan Perdana Menteri sendiri untuk menyatakan perkara ini daripada mengambil masa Ahli Parlimen untuk membahaskan titah ucapan ini pada hari ini," katanya.

Persoalan yang dibangkitkan oleh Takiyuddin itu semakin kecoh apabila Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) turut bangkit mempersoalkan perkara berkenaan.

Ronald berkata, pihaknya tidak menentang apa yang mahu dinyatakan oleh Anwar.

"Kita bukan menentang apa yang nak diujarkan oleh Perdana Menteri. Tetapi dari segi peraturan mesyuarat nampak bertentangan dengan peraturan mesyuarat Parlimen 14 (1) dan 14 (2)," katanya.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul kemudiannya menjelaskan, apa yang mahu diucapkan oleh Anwar adalah ucapan terima kasih dan ia terkandung dalam peraturan 14 (1)(J).

"Saya akan serahkan kepada dewan untuk Perdana Menteri dengan rasa rendah diri untuk ucapkan terima kasih kepada tuanku. Takkan itu kita nak persoalkan.

"Dalam peraturan mesyuarat jelas, selagi menteri bawa cadangan, kita biarkan ahli nyatakan setuju (atau tidak)," katanya.

Majoriti Ahli Parlimen menyatakan sokongan agar ucapan terima kasih itu diucapkan oleh Anwar.

Bagaimanapun, ia kemudiannya menyebabkan kesemua Ahli Parlimen Pembangkang bertindak untuk keluar daripada dewan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 4:33 PM