DR Dzulkefly ketika melawat Hospital Sungai Bakap hari ini. FOTO Bernama
DR Dzulkefly ketika melawat Hospital Sungai Bakap hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Nibong Tebal: Pesakit di hospital boleh menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, bergantung pada kelulusan dan penilaian risiko oleh doktor.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pesakit terutamanya yang berisiko tinggi perlu mendapatkan nasihat kesihatan daripada pakar perubatan sebelum keluar mengundi, bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

"Saya yakin mereka (pesakit) boleh mendengar pandangan doktor dan kalau dapat diuruskan, pastinya mereka ini akan melunaskan hak untuk mengundi," katanya menjawab soalan media berhubung perkara itu selepas lawatan kerjanya di Hospital Sungai Bakap di sini hari ini.

PRK DUN Sungai Bakap akan berlangsung 6 Julai ini.

Terdahulu, Dzulkefly mendengar taklimat berkaitan operasi harian dan perkembangan semasa perkhidmatan kesihatan di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) serta merasmikan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sungai Bakap yang dinaik taraf.

Dalam pada itu, beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang sudah mengenal pasti tapak yang sesuai seluas 2.096 hektar bersebelahan Hospital Sungai Bakap untuk pembinaan bangunan baharu berikutan pertambahan penduduk di SPS dan bangunan sedia ada telah berusia lebih 130 tahun.

Menurut Dzulkefly, bekas Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa pada Ogos 2023 sudah berbincang dengan kerajaan negeri untuk memperoleh tapak bersesuaian bagi pembinaan itu.

"Saya akan pastikan ia (pembangunan) akan diteruskan dan ini masih di peringkat awal, kita baru kenal pasti tanah dan sudahpun ada, maka langkah seterusnya itu untuk mendapatkan peruntukan," katanya.

Sementara itu, beliau menafikan lawatan kerja tersebut sebagai 'gula-gula' pilihan raya berikutan jatuh pada hari yang sama dengan hari penamaan calon PRK DUN Sungai Bakap.

"Dalam Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) sudah dibuat satu perancangan hampir setahun lalu (untuk lawatan) seluruh negara dan kebetulan minggu ini minggu saya di Pulau Pinang.

"Jadi saya hanya melunaskan tanggungjawab, tugas saya sebagai menteri dan tidak ada apa-apa yang saya hendak berikan dari segi 'gula-gula' kecuali untuk bertemu pengarah JKN (Jabatan Kesihatan Negeri) Pulau Pinang, hospital dan juga pegawai," katanya.

PRK DUN Sungai Bakap yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dengan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 8:41 PM