NAZRAN menerima Anugerah Penderma Darah Jenis Darah Jarang Jumpa Peringkat Kebangsaan 2024. FOTO L Manimaran
NAZRAN menerima Anugerah Penderma Darah Jenis Darah Jarang Jumpa Peringkat Kebangsaan 2024. FOTO L Manimaran
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Bukan sahaja sudah menderma darah lebih 300 kali sejak 29 tahun lalu, seorang pekerja hotel turut memiliki darah 'istimewa' yang sangat diperlukan individu yang menghidap penyakit jarang jumpa.

Atas baktinya itu, Nazran Mohd Nawawi, 47, dianugerahkan Penderma Darah Jenis Darah Jarang Jumpa Peringkat Kebangsaan 2024 pada Majlis Apresiasi Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di sini, hari ini.

Nazran yang bekerja di bahagian penyambut tetamu sebuah hotel di Damansara, Selangor berkata, dia difahamkan darahnya dikategorikan jarang jumpa.

Katanya, ia disebabkan keistimewaan pada jenis platelet yang terkandung dalam darahnya yang sangat diperlukan bagi penghidap penyakit tertentu jarang dijumpai.

"Saya berdarah O namun jenis platelet darah itu istimewa kerana jarang jumpa.

"Sekitar tiga tahun lalu, saya dimaklumkan kakitangan perubatan makmal darah hanya ada dua individu termasuk saya yang mempunyai darah sedemikian di Kuala Lumpur.

"Saya diberitahu darah macam saya susah didapati, dan ia sangat diperlukan oleh individu mempunyai penyakit 'special' (jarang berlaku) yang saya sendiri pun tak tahu jenis penyakitnya," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan.

Hadir sama Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan; Exco Kesihatan negeri, A Sivanesan; Pengarah Kesihatan negeri, Dr Feisul Idzwan Mustapha; dan Pengarah Pusat Darah Negara (PDN), Dr Mohammad Masrin Md Zahrin.

Nazran berkata, keinginan menderma darah tercetus selepas menonton banyak filem berkaitan masalah kekurangan darah.

Katanya, lama-kelamaan menderma darah menjadi seakan rutinnya untuk sentiasa sihat dan cergas selain dari untuk menambah 'saham' pahala.

"Selain membatu insan lain, derma darah juga baik untuk kesihatan apabila darah yang dikeluarkan, akan diganti dengan pembentukan sel-sel darah yang baharu.

"Pertamanya motif derma darah adalah untuk menyelamatkan mangsa, keduanya untuk kesihatan, dan ketiga untuk amal jariah," katanya.

Bapa seorang anak yang menetap di Puncak Alam, Selangor itu berkata, ketika negara dilanda pandemik Covid-19, dia mendermakan darah lebih 10 kali kepada PDN apabila dipanggil.

"Semasa itu PDN perlukan darah dan meminta saya datang segera kerana berdepan situasi kekurangan platelet untuk agihan ke hospital," katanya.

Sementara itu, Muhammad Radzi dalam ucapannya berkata, KKM sedang merancang bagi mendigitalkan buku pendermaan darah di fasiliti kesihatan KKM bagi menarik lebih ramai penderma dalam kalangan golongan muda.

Beliau berkata digitalisasi menerusi aplikasi itu akan membolehkan penderma darah mengakses rekod pendermaan dengan lebih mudah dan pantas.

"Selain itu, ia bagi memantau maklumat seperti tarikh pendermaan terakhir, tarikh pendermaan seterusnya, maklumat pendermaan terkini, lokasi pendermaan darah, dan kempen pendermaan darah bergerak.

"Pada masa hadapan, aplikasi ini juga membolehkan penderma darah membuat temujanji untuk aktiviti pendermaan darah mereka yang mana lebih fleksibel dan mesra pengguna," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 6:49 PM