FOTO HIASAN. BERNAMA
FOTO HIASAN. BERNAMA
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Individu yang sudah divaksin diminta menangguhkan menderma darah selama tujuh hari selepas menerima dos pertama atau kedua.

Pengarah Pusat Darah Negara (PDN) Dr Noryati Abu Amin berkata, perkara itu diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Garis Panduan Pencegahan dan Kawalan Semasa Aktiviti Pendermaan Darah bagi Mengekang Penularan Jangkitan Penyakit Berjangkit Covid-19 - Annex 49.

"Garis panduan ini menetapkan tempoh penangguhan sementara bagi aktiviti pendermaan darah untuk individu selepas pengambilan vaksin Covid-19 dan selari dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Tempoh penangguhan ini adalah berdasarkan prinsip berjaga-jaga bagi melindungi kesihatan penderma dan pesakit yang menerima darah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noryati berkata, tempoh penangguhan itu mengambil kira jenis vaksin Covid-19 dan disyorkan ditangguh selama tujuh hari selepas menerima dos pertama atau kedua.

"Penangguhan ini membabitkan 'non-live vaccine' iaitu Pfizer, Astra Zeneca, Sinovac dan Cansino yang digunakan di Malaysia.

"Kriteria ini adalah untuk memastikan penderma darah berada di tahap kesihatan optimum semasa menjalankan aktiviti menderma darah.

"Pendermaan darah secara sukarela tanpa berbayar diamalkan di Malaysia adalah satu aktiviti murni di mana penderma darah membantu pesakit yang tidak dikenali tanpa mengira kedudukan, bangsa dan agama," katanya.

Selain itu, Dr Noryati turut menafikan mesej WhatsApp tular yang mendakwa bekalan darah di hospital berkurangan dan makin kritikal.

"PDN menegaskan maklumat dalam mesej berkenaan tidak benar dan boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan orang ramai.

"Sebaliknya, status bekalan darah seluruh negara menunjukkan peningkatan yang baik sejak akhir-akhir ini walaupun negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19," katanya.

Menurutnya, tren peningkatan pendermaan darah itu akan memastikan PDN dan Tabung Darah mempunyai stok simpanan darah mencukupi bagi kegunaan pesakit serta membantu bekalan darah di negeri yang mengalami peningkatan kes Covid-19.

"Bekalan darah yang selamat dan mencukupi digunakan untuk merawat kes kemalangan dan pendarahan, ibu yang mengalami komplikasi bersalin serta bayi pramatang yang kekurangan darah.

"Selain itu, ia digunakan untuk kegunaan pesakit talasemia, kanser, kegagalan fungsi buah pinggang dan pesakit yang menjalani pembedahan kritikal," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 3:57 PM