GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Peningkatan kes Covid-19 menyaksikan pengurangan kutipan darah yang ketara di seluruh negara terutama Lembah Klang sejak Mei lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, ia berikutan penurunan bilangan penderma yang disebabkan faktor kebimbangan terhadap keselamatan sepanjang proses menderma darah serta pembatalan kempen derma darah oleh penganjur.

"Tren penurunan itu amat membimbangkan dan boleh menjejaskan keupayaan dalam perawatan pesakit.

"Purata darah diperlukan setiap minggu untuk kegunaan pesakit di seluruh negara adalah sebanyak 14,000 beg termasuk di Pusat Darah Negara (PDN) yang memerlukan 3,500 hingga 4,000 beg bagi pembekalan kepada hospital di Lembah Klang.

"Ini untuk membantu pesakit yang memerlukan termasuk pesakit kecemasan yang mengalami pendarahan di luar jangka seperti kes kemalangan atau komplikasi semasa bersalin, bayi pramatang, thalasemia, kanser, kegagalan buah pinggang dan mereka yang perlu menjalani pembedahan kritikal serta kompleks.

"Tambah pula kebelakangan ini terdapat ramai pesakit Covid-19 terutama mempunyai latar belakang penyakit kronik turut memerlukan transfusi darah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa mengutamakan keselamatan penderma darah, penganjur kempen dan petugas dalam memastikan proses pendermaan selamat.

"Setiap tabung darah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berdasarkan Garis Panduan Pencegahan dan Kawalan Semasa Aktiviti Pendermaan Darah Bagi Mengekang Penularan Jangkitan Penyakit Berjangkit Covid-19 untuk meningkatkan keselamatan orang ramai.

"Garis panduan dikemaskini baru-baru ini selari dengan garis panduan antarabangsa. Antara SOP memastikan penderma darah dan petugas sihat sebelum memasuki ruang pendermaan.

"Ini termasuklah saringan awal dilakukan kepada bakal penderma iaitu hanya tiada gejala, tiada jangkitan Covid-19 atau tidak ada kontak rapat pesakit Covid-19 bagi tempoh 14 hari sahaja boleh meneruskan pendermaan darah," katanya.

Menurutnya, antara lain adalah memastikan penderma memakai pelitup muka, menjalani ujian suhu badan, mengimbas kod MySejahtera, pengisian borang deklarasi Covid-19 serta mencuci tangan dengan sabun atau pembasmi kuman sepanjang berada di lokasi pendermaan.

Tambah beliau, kedatangan penderma ke lokasi pendermaan dipantau dan dihadkan kepada bilangan tertentu pada satu masa untuk memastikan penjarakan fizikal sewaktu proses pendermaan.

Selain itu, beliau berkata, pembersihan meja pendaftaran, peralatan pendermaan darah, katil penderma dan 'stress ball' yang digunakan selepas setiap kali pendermaan dilakukan secara berterusan oleh petugas kesihatan untuk mengekang penularan wabak.

Justeru, KKM menyeru orang ramai tampil menderma darah di PDN termasuk PDN Donation Suite, pusat beli-belah Midvalley, Suite Derma Darah Puspanita, Presint 10 Putrajaya dan Tabung-Tabung Darah berhampiran serta kempen derma darah bergerak bagi memastikan bekalan darah mencukupi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 3:17 PM