Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Seorang peguam kerugian RM1.3 juta akibat terpedaya iklan pelaburan di media sosial diiklankan oleh sindiket mata wang kripto Kakaue Exchange.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki tempatan berusia 57 tahun itu di sini kelmarin.

Menurutnya, mangsa membuat beberapa transaksi pembayaran secara berperingkat ke dalam 14 akaun syarikat berbeza selepas dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp oleh individu yang mengaku kononnya wakil dari Syarikat Kakaue Exchange (USA) pada Disember lalu.

"Melalui platform pelaburan itu mangsa melihat pelaburannya menjana keuntungan namun diberikan pelbagai alasan apabila mangsa cuba mengeluarkan keuntungan berkenaan.

"Mangsa mula curiga apabila mendapati tiga mata wang kripto yang dibelinya melalui platform itu tidak ditawarkan oleh mana-mana exchanger mata wang kripto yang lain," katanya pada sidang media di Pejabat JSJK Bukit Aman, di Menara KPJ, di sini hari ini.

Ramli berkata, setakat ini sebanyak lapan laporan diterima membabitkan taktik penipuan menerusi platform sama membabitkan kerugian mencecah RM3.5 juta.

Katanya, sebanyak 22 akaun bank pelbagai syarikat sedang disiasat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana disyaki menjadi keldai kepada sindiket berkenaan.

"Jabatan ini menggesa mana-mana individu yang menjadi mangsa skim pelaburan ini untuk segera tampil membuat laporan polis di mana-mana balai polis.

"Sebagai langkah pencegahan, orang ramai yang berminat untuk membuat

pelaburan mata wang kripto dinasihatkan untuk merujuk kepada pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk pandangan dan nasihat," katanya.

Untuk rekod hanya enam syarikat yang diiktiraf menjalankan transaksi pelaburan mata wang kripto iaitu Luno Malaysia Sdn Bhd, HATA Digital Sdn Bhd, MX Global Sdn Bhd, SINEGY DAX Sdn Bhd, Tokenize Technology (M) Sdn Bhd dan Torum International Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 5:38 PM