Suharmin Yusuf


Kuala Lumpur: Seorang lelaki warga Malaysia yang dipercayai diculik di Manila, Filipina ditemukan mati oleh polis negara itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berdasarkan maklumat polis Filipina ada menerima laporan daripada abang mangsa pada 22 Oktober lalu.

Menurutnya, abang mangsa melaporkan sekumpulan lelaki menculik adiknya itu dan meminta wang tebusan sebanyak RM330,000.

"Berikutan itu, abang mangsa membayar wang tebusan terbabit kepada penculik berkenaan melalui pertukaran mata wang kripto dalam dolar Amerika Syarikat.

"Bagaimanapun, polis Filipina menemui mayat yang sepadan dengan keterangan abang mangsa di San Sinom, Papanga pada 23 Oktober lalu," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, Pejabat Polis Atase Malawakil Manila (PAPMM), Filipina kemudiannya mohon mendapatkan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui JSJK untuk mengesan suspek penculikan dan pembunuhan itu.

Katanya, PAPMM mohon untuk membantu menganalisis aliran transaksi wang tebusan yang dibayar melalui aplikasi cryptowallet.

"Hasil analisis yang dijalankan kemudiannya berjaya mengesan aliran transaksi mata wang kripto dipindahkan ke satu 'exchange' yang tidak didaftarkan di Malaysia.

"Maklumat yang diterima daripada 'exchange' itu turut berjaya mendedahkan identiti enam suspek warga asing yang dipercayai dapat membantu dalam siasatan kes penculikan dan pembunuhan terbabit.

Ramli berkata, kesemua maklumat itu sudah diserahkan kepada PAPMM untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 5:10 PM