Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Penjualan Edra Global Energy Bhd (Edra) yang mengendalikan aset tenaga dan juga anak syarikat milik 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kepada syarikat asing, China General Nuclear Power Corporation (CGN Group) tidak menjejaskan ekosistem ekonomi Malaysia kerana ia boleh dianggap sebagai transaksi perniagaan yang normal.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, penjualan syarikat tenaga itu adalah transaksi tunggal yang biasa dijalankan oleh mana-mana perniagaan di negara ini dan ia tidak memberi kelebihan atau kekurangan kepada mana-mana pihak.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai sistem perniagaan yang luas serta pasaran besar dan penjualan Edra kepada CGN Group tidak akan memberi kesan yang ketara kepada kedudukan ekonomi negara.

“Saya juga tidak boleh memberi komen bagi transaksi individu yang dijalankan oleh syarikat namun melihatkan dengan keupayaan pasaran yang dimiliki Malaysia, ia bukanlah sesuatu yang membimbangkan,” katanya kepada media selepas majlis perasmian Persidangan Tenaga Kepimpinan Asia (LESA) 2015 di sini, semalam.

CGN Group menandatangani Perjanjian Pembelian dan Penjualan Saham (SSPA) dengan 1MDB bagi mengambil alih 100 peratus kepentingan dalam Edra Solar Sdn Bhd, Edra Energy Sdn Bhd, Powertek Energy Sdn Bhd, Jimah Teknik Sdn Bhd, Jimah O&M Sdn Bhd, Mastika Lagenda Sdn Bhd dan Tiara Tanah Sdn Bhd.

Media sebelum ini melaporkan, syarikat asing terbabit akan membayar secara tunai nilai ekuiti sebanyak RM9.83 bilion dan mengambil alih semua hutang berkaitan dan tunai syarikat operasi Edra berdasarkan tarikh penilaian pada 31 Mac 2015 dan ia dijangka selesai pada Februari 2016.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai siasatan terhadap 1MDB, Zeti berkata pihaknya sudah selesai melakukan tugasan siasatan dan beberapa kemajuan turut diambil susulan daripada kelulusan yang diberikan.

“Setakat ini tiada ulasan dan pandangan dapat diberikan dengan lebih lanjut mengenai status siasatan sehingga kesimpulan dapat dicapai,” katanya.

BNM sebelum ini mengarahkan 1MDB untuk menghantar kembali dana berjumlah AS$1.83 bilion (RM7.75 bilion) selepas membatalkan tiga kebenaran kepada kumpulan wang mengikut Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (ECA 1953) bagi pelaburan luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2015 @ 5:25 AM