RAMLI menunjukkan gambar tangkapan sindiket penipuan pada  sidang media hari ini. FOTO Amirudin Sahib.
RAMLI menunjukkan gambar tangkapan sindiket penipuan pada sidang media hari ini. FOTO Amirudin Sahib.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Taktik sindiket pelaburan palsu jadikan bekas pejabat konsulat asing sebagai markas terbongkar selepas premis banglo di ibu negara itu diserbu dalam satu operasi di sini minggu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, serbuan itu dijalankan susulan risikan pihaknya dan berjaya menahan 28 suspek dipercayai ahli sindiket terbabit.

Menurutnya, premis berkenaan dilengkapi pengawal bersenjata api malah papan tanda konsulat asing terbabit juga belum diturunkan dipercayai untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

"Sindiket ini menawarkan pelaburan berkonsepkan "money game" dengan pulangan lumayan dalam masa yang singkat. Tujuh pakej pelaburan ditawarkan daripada serendah 155 matawang kripto (USDT) hingga 31,000 USDT.

"Pulangan dijanjikan secara harian iaitu sebanyak satu hingga dua peratus bagi tempoh 155 hari menerusi transaksi dalam talian di https://mgc.game/ yang dikendalikan pihak sindiket," katanya pada sidang media di pejabat JSJK Bukit Aman, di Menara KPJ, di sini hari ini.

Ramli berkata, sindiket yang menyasarkan mangsa dari Malaysia, Korea Selatan, Brunei, dan China itu dipercayai baru mula beroperasi selepas premis yang pernah didiami konsulat asing berkenaan dikosongkan.

Katanya, 28 suspek terdiri daripada 16 lelaki dan 12 wanita di mana 13 daripadanya adalah warga asing iaitu tujuh warga China, Brunei (empat), dan Korea Selatan (empat).

"Kesemua warga Malaysia dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dilengkapkan, manakala semua warga asing direman di bawah Akta Imigresen 1959 sehingga 8 Disember 2023.

"Turut dirampas adalah komputer riba, 41 telefon bimbit, pasport (13), risalah, dokumen, kad akses dan sebuah kereta jenis Lexus bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Untuk rekod Suruhanjaya Sekuriti (SC) hanya membenarkan lima syarikat di dalam negara menjalankan urusan membabitkan matawang kripto iaitu Luno Malaysia Sdn Bhd, HATA Digital Sdn Bhd, MX Global Sdn Bhd, SINEGY DAX Sdn Bhd dan Tokenize Technology (M) Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 2:19 PM