Muhamad Lokman Khairi


Batu Gajah: Suspek lelaki disyaki membunuh isterinya di sebuah hotel dekat sini, semalam, direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 27 Jun depan.

Permohonan reman berkenaan dibenarkan oleh Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin selepas lelaki berusia 36 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Gajah di sini, jam 8.33 pagi hari ini.

Suspek yang memakai baju Melayu dan seluar lokap berwarna jingga itu dibawa keluar 14 minit kemudian.

Penganggur itu direman bagi membantu polis menjalankan siasatan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Semalam, media melaporkan lelaki terbabit menyerah diri di balai polis jam 2 petang selepas membunuh isterinya di bilik sebuah hotel di Jalan Pejabat Pos, di sini.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md Noor Aehawan Mohammad dilaporkan berkata, suspek disyaki membunuh mangsa yang berusia 32 tahun kerana tidak puas hati apabila wanita itu meneruskan tuntutan fasakh.

Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Gajah, hari ini untuk mendapatkan perintah reman. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Gajah, hari ini untuk mendapatkan perintah reman. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 9:37 AM