BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetengahkan sikap mesra dan saling menghormati kepimpinan China, dengan memberi penekanan kepada pemahaman mendalam berhubung perbezaan budaya, dalam interaksinya dengan Perdana Menteri China Li Qiang.

Dalam ucapannya di majlis makan tengah hari Komuniti Perniagaan Malaysia-China hari ini, beliau menyentuh tentang skeptisisme yang sering dibangkitkan oleh pemerhati antarabangsa khususnya dari negara Barat, mengenai hubungan dua hala yang ditingkatkan antara Malaysia dan China.

Beliau berkata pengkritik kerap mempersoalkan sama ada perkongsian strategik yang komprehensif itu akan memudaratkan Malaysia, sebuah negara yang lebih kecil.

"Saya telah beri jaminan berdasarkan sejarah terdahulu dari zaman Maharaja di China dan Sultan Melaka. Lawatan Perdana Li Qiang, sahabat saya yang dihormati ini, telah membuktikan (kemesraan). Kami berbincang selama berjam-jam, tanpa sebarang keangkuhan atau ultimatum.

"Walaupun terdapat isu yang dipertikaikan, kita lihat mereka sebagai rakan kongsi dan sahabat yang dipercayai... terlibat dalam perbincangan selama beberapa jam sebagai rakan kongsi setara dan boleh dipercayai," katanya di sini.

Dalam merujuk kepada skop kerjasama Malaysia-China yang lebih luas, Anwar menyentuh kepada perkara-perkara yang menjadi perhatian bersama seperti masa depan pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Kecerdasan Buatan (AI) dan kemajuan digital.

Beliau turut mengetengahkan manfaat bersama mempelajari antara satu sama lain dan bekerjasama bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat di kedua-dua negara, serta kepentingan untuk memahami dan menghargai perbezaan budaya dan agama.

ANWAR (kanan) dan Li Qiang di majlis makan tengah hari Komuniti Perniagaan Malaysia-China. FOTO BERNAMA
ANWAR (kanan) dan Li Qiang di majlis makan tengah hari Komuniti Perniagaan Malaysia-China. FOTO BERNAMA

Perdana Menteri kemudiannya merujuk kepada penganjuran persidangan antarabangsa besar mengenai Islam dan Konfusianisme pada tahun 1995, yang memupuk prinsip etika di samping mengetengahkan amalan ekonomi berperikemanusiaan, dan beliau melahirkan rasa gembira kerana Perdana Menteri China Li Qiang turut menyokong idea untuk meningkatkan pemahaman dan dialog antara Islam dan Konfusianisme.

"Saya memilih untuk menyentuh perkara ini kerana ia sendiri merupakan satu teguran dan sanggahan terhadap propaganda berlebihan kononnya kita harus meragui dan merasa bimbang akan dominasi China dari segi ekonomi, ketenteraan, teknologi.

"...kita di Malaysia berpendirian neutral, dan mempunyai keazaman untuk bekerjasama dengan semua negara dan dengan China, kita melihat Perdana Menteri Li Qiang sebagai rakan yang akan bekerjasama dengan kita, berkolaborasi, serta membuktikan kepada dunia bahawa perpaduan, persahabatan ini amat bermakna," katanya.

Majlis makan tengah hari itu turut dihadiri oleh Li, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Perdagangan China Wang Wentao, anggota delegasi dan juga anggota komuniti perniagaan.

Li tiba di Malaysia pada hari Selasa untuk lawatan rasmi tiga hari, dan ia merupakan kunjungan sulung beliau ke negara ini sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada Mac 2023.

Lawatan ini juga bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia – China, susulan pemeteraian Kenyataan Bersama antara Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dan Perdana Menteri China pada masa itu, Chou En Lai pada 31 Mei 1974.

China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun sejak 2009, dengan jumlah perdagangan berjumlah RM450.84 bilion (AS$98.90 bilion) pada 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 3:29 PM