GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menjalankan siasatan berhubung kes pengeluaran wang tunai daripada beberapa akaun simpanan berjumlah RM24.2 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, setakat ini tiada tangkapan baharu dan 13 individu sudah ditahan bagi membantu siasatan.

"Seramai 11 individu masih lagi ditahan reman sehingga esok.

"Manakala dua individu yang ditahan sebelum ini masing-masing sudah dibebaskan dengan jaminan polis dan tamat reman semalam," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bagaimanapun katanya, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kakitangan sebuah bank ditahan selepas disyaki bertindak sebagai 'orang dalam' bagi mengeluarkan wang tunai bernilai RM24.2 juta daripada beberapa akaun simpanan.

Ramli dilaporkan berkata, pihaknya menerima empat laporan pada awal Jun memaklumkan berlaku pengeluaran yang mencurigakan.

Menurutnya, laporan dibuat mangsa dan kakitangan bank terbabit di Petaling Jaya, Selangor mendakwa berlaku pengeluaran secara tunai di Kota Kinabalu, Sabah membabitkan beberapa akaun simpanan tetap.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 3:10 PM