PENGARAH JSJK Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. FOTO arkib NSTP
PENGARAH JSJK Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seramai 13 individu yang disyaki bertindak sebagai 'orang dalam' dan bersubahat dengan sindiket bagi mengeluarkan wang tunai daripada beberapa akaun simpanan berjumlah RM24.2 juta sudah ditahan polis, setakat semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah itu termasuk penahanan terbaru membabitkan lima individu bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada lapan lelaki dan lima wanita berusia antara 22 sehingga 53 tahun.

"Daripada jumlah itu, 12 orang ditahan di Sabah dan seorang ditahan di Perlis. Empat daripada mereka yang ditahan pula adalah kakitangan bank.

"Seramai 11 individu daripada yang ditahan itu sedang direman sehingga 21 Jun manakala seorang direman sehingga esok dan seorang dibebaskan dengan jamin polis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kakitangan sebuah bank ditahan selepas disyaki bertindak sebagai 'orang dalam' bagi mengeluarkan wang tunai bernilai RM24.2 juta daripada beberapa akaun simpanan.

Ramli dilaporkan berkata, pihaknya menerima empat laporan pada awal Jun memaklumkan berlaku pengeluaran yang mencurigakan.

Menurutnya, laporan dibuat mangsa dan kakitangan bank terbabit di Petaling Jaya, Selangor mendakwa berlaku pengeluaran secara tunai di Kota Kinabalu, Sabah membabitkan beberapa akaun simpanan tetap.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 1:12 PM