RAMLI menunjukkan barang rampasan susulan tangkapan dalang utama dan suspek sindiket curi RM24.2 juta daripada akaun simpanan tetap. FOTO Amirudin Sahib.
RAMLI menunjukkan barang rampasan susulan tangkapan dalang utama dan suspek sindiket curi RM24.2 juta daripada akaun simpanan tetap. FOTO Amirudin Sahib.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Pegawai bank disyaki menerima komisen antara RM100,00 hingga RM240,000, apabila bersubahat menjadi 'orang dalam' bagi sindiket yang mencuri RM24.2 juta daripada empat akaun simpanan, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah komisen itu didakwa berbeza mengikut peranan masing-masing, yang mana dalang utama akan menerima habuan paling lumayan.

Katanya, pihaknya percaya sindiket itu sudah merancang jenayah berkenaan sejak awal tahun lalu, membabitkan empat 'orang dalam' antaranya pegawai bank yang menguruskan akaun simpanan tetap selain pengurus bank.

"Semua suspek (14 orang) dipercayai rakan. Ada pegawai bank, ada bekas pegawai bank dan dalang dia ini memang pakar memalsukan data serta dokumen.

"Dalam industri perbankan, kita tahu ada proses verifikasi termasuk biometrik bermaksud sindiket ini menggunakan cap jari dan gambar mereka (ahli sindiket).

"Data (dalam sistem) itu original (asli) tetapi sindiket mampu mengubah data seperti cap jari dan gambar ahli sindiket (untuk akses akaun mangsa)," katanya pada sidang media di Pejabat JSJK Bukit Aman di sini, hari ini.

Ramli berkata, pengeluaran haram itu hanya berjaya dilakukan melalui pakatan dalaman kerana di atas kertas, ia kelihatan seperti transaksi yang sah.

"Kegiatan penipuan ini mula terbongkar apabila salah seorang pemilik akaun simpanan hadir ke bank untuk membuat pengemaskinian akaun simpanan tetapnya.

"Mangsa membuat laporan polis pada 6 Jun lalu sebelum satu pasukan siasatan dibentuk untuk menyiasat kegiatan pengeluaran wang tanpa kebenaran dan pemilik akaun sebenar," katanya.

Menurutnya, suspek utama juga mempunyai kepakaran dalam memalsukan sistem biometrik pada kad pengenalan dan data milik mangsa.

Selain tangkapan, polis merampas sembilan kenderaan pelbagai jenis, wang tunai RM1.93 juta, telefon bimbit, kad ATM, kad debit, kad kredit, barangan berharga serta dokumen yang mempunyai kaitan dengan aktiviti jenayah yang dilakukan.

Setakat ini suspek ditahan reman sehingga 24 Jun dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 5:53 PM