Tan Sri Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Kekosongan luar jangka Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri seperti yang diumumkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menunjukkan pindaan Perlembagaan Bersatu mengenai anti lompat parti dan notis terhenti keahlian serta-merta kepada wakil rakyat adalah teratur serta mengikut kehendak undang-undang.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, partinya bersama anggota Perikatan Nasional (PN) bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri yang akan diadakan pada tarikh ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Insya-Allah dengan izin Allah SWT dan dokongan rakyat, kita akan beroleh kemenangan," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Terdahulu, Mohd Amar mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan berkuat kuasa serta-merta.

Mohd Amar berkata, keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Bersatu mengenai keahlian Mohd Azizi Abu Naim yang hilang daripada Bersatu.

Mohd Azizi kemudiannya menyatakan pihaknya tidak terkejut dengan pengumuman yang dibuat Mohd Amar berhubung kekosongan kerusi yang disandangnya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin turut mengucapkan terima kasih kepada Mohd Amar yang mengumumkan kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Nenggiri.

Beliau yang juga Pengerusi PN berkata, kekosongan itu berlaku susulan notis yang dihantar oleh Bersatu kepada Speaker DUN Kelantan berhubung terhentinya keahlian Adun Nenggiri daripada Bersatu serta-merta kerana melanggar Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu.

"Keputusan Speaker DUN Kelantan ini adalah selaras dengan Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan yang memperuntukkan berlakunya kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN yang wakil rakyatnya terhenti keahlian partinya secara serta-merta.

"Peruntukan ini adalah selaras dengan undang-undang anti lompat parti di bawah Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 3:32 PM