MOHD Amar berkata bekas Adun Nenggiri berhak mencabar keputusan pengosongan kerusi Dun Nenggiri. FOTO Arkib NSTP.
MOHD Amar berkata bekas Adun Nenggiri berhak mencabar keputusan pengosongan kerusi Dun Nenggiri. FOTO Arkib NSTP.
Nor Fazlina Abdul Rahim dan Syarifah Mahsinah Syed Abdullah


Kota Bharu: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim berhak mencabar keputusan Speaker Dun Kelantan yang mengisytiharkan kerusi disandangnya kosong berkuat kuasa semalam.

Speaker Dun Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kerajaan negeri mahupun parti politik yang diwakili Mohd Azizi juga tidak boleh menghalang tindakan bekas Adun itu.

"Saya dimaklumkan semalam, bekas Adun Nenggiri (Mohd Azizi) akan membawa isu berkenaan (mengenai kekosongan kerusi) ke mahkamah.

"Sebagai Speaker negeri, saya tidak boleh menghalangnya daripada berbuat demikian. Beliau berhak mencari jalan sendiri," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, kes yang berlaku terhadap Mohd Azizi adalah kes sama pernah berlaku di Pulau Pinang.

"Bezanya Mohd Azizi adalah dari Bersatu. Beliau hilang keahlian baru-baru ini dan pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atas tiket PAS." katanya.

Semalam, Mohd Amar mengumumkan kerusi Dun Nenggiri dikosongkan.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Bersatu mengenai keahlian Mohd Azizi Abu Naim yang hilang daripada Bersatu.

Sementara itu, Umno menyifatkan keputusan Mohd Amar yang mengumumkan kekosongan kerusi Dun Nenggiri lebih kepada politik dan bias.


Kerusi Dun Nenggiri kosong, SPR mesyuarat 28 Jun

Kelantan umum kerusi Dun Nenggiri dikosongkan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 5:29 PM