Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim. FOTO arkib NSTP
Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim. FOTO arkib NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kelantan mengumumkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dikosongkan berkuat kuasa hari ini.

Perkara berkenaan diumumkan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada sidang media di pejabatnya, sebentar tadi.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Bersatu mengenai keahlian Mohd Azizi Abu Naim yang hilang daripada Bersatu.

"Maka dengan ini saya mengisytihar menurut Fasal 1 Perkara 31A bahawa berlaku kekosongan luar jangka kerusi DUN Nenggiri yang diwakili Mohd Azizi.

"Maka dengan ini menurut Fasal 4(4) Perkara 31A, kekosongan kerusi perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima notis kekosongan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, enam Ahli Parlimen dan seorang Adun Bersatu sudah digugurkan keahliannya serta-merta.

Ia selepas mereka gagal memberi sebarang jawapan berkaitan surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 11:30 AM