Isma Ismail dan Sri Ayu Kartika Amri


TIADA sebab untuk warga asing atau pelancong tinggal di negara ini tanpa memperbaharui visa, hanya kerana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebaliknya, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua golongan itu perlu ada visa sah jika mahu terus tinggal di Malaysia, dan mereka yang tertangkap dengan visa tamat tempoh boleh dikenakan tindakan.

Katanya, penguat kuasa Jabatan Imigresen (JIM) juga akan mengambil tindakan ke atas pelancong asing yang menyalahgunakan visa pelancongan dengan bekerja.

"Ramai yang tinggal lebih daripada jangka masa ditetapkan kerajaan kerana pada awal PKP memang pejabat Imigresen ditutup, tetapi jika mereka ingin tinggal lebih lama, mereka tetap perlu ke pejabat Imigresen waktu (PKP) itu.

"Dan saya kata (boleh ke pejabat Imigresen) secara temu janji untuk memperbaharui visa mereka.

"Kini, pejabat Imigresen juga sudah lama dibuka, pada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), bermakna mereka mempunyai peluang untuk memperbaharui visa mereka.

"Jadi tak ada sebab mengapa mereka masih lagi tinggal di negara kita tanpa memperbaharui visa," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, sebelum ini juga beliau pernah mengumumkan bahawa warga asing yang sudah tinggal melebihi masa dibenar untuk pulang ke negara asal dengan menunjukkan tiket penerbangan ketika di lapangan terbang.

Katanya, JIM mengambil langkah sewajarnya menahan pelancong asing sekiranya mendapati mereka menyalahi visa pelancongan.

Gambar hiasan. Foto NSTP.
Gambar hiasan. Foto NSTP.

"Mungkin pelancong asing ini menggunakan visa pelancongan dengan bekerja sebagai tukang gunting rambut, kerja di restoran dan sebagainya.

"Mereka menyalahgunakan visa, pastinya mereka ditahan dan saya percaya tindakan yang dilakukan Jabatan Imigresen (JIM) berdasarkan sebab-sebab tertentu dan bukan sebab lain," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 3:49 PM