LILIS dan Chin Tong dalam sesi Walkabout Jualan Rahmah Sempena Hari Raya Aidilfitri di Tapak Pasar Tani Taman Mutiara Rini, Johor Bahru, hari ini. FOTO Mary Victoria
LILIS dan Chin Tong dalam sesi Walkabout Jualan Rahmah Sempena Hari Raya Aidilfitri di Tapak Pasar Tani Taman Mutiara Rini, Johor Bahru, hari ini. FOTO Mary Victoria
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor memberi jaminan bekalan barangan makanan kawalan mencukupi sepanjang Aidilfitri ini.

Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, sejak Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2024 dilancarkan Jumaat lalu, pihaknya belum menerima sebarang maklumat berkaitan kekurangan bekalan.

Beliau berkata, masyarakat setempat boleh membuat aduan sekiranya terdapat kekurangan bekalan di mana-mana kawasan supaya mereka dapat menghantar pasukan melakukan siasatan dan pemeriksaan.

"Seramai 200 penguat kuasa KPDN di seluruh negeri akan melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan termasuk pada hari perayaan Aidilfitri," katanya ketika ditemui ketika menghadiri sesi Walkabout Jualan Rahmah di Tapak Pasar Tani di Taman Mutiara Rini, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Liew Chin Tong.

Lilis Saslinda berkata, pemantauan itu akan dilakukan di lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah barangan keperluan perayaan.

Beliau berkata, pendekatan itu membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna sekiranya berlaku ketidakpatuhan.

"Kita akan melakukan advokasi terlebih dulu bagi memastikan tidak ada peniaga yang mengambil kesempatan atau terlepas pandang terhadap pencatutan harga yang ditetapkan.

"Jika masih ada yang berdegil, kita tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan kompaun," katanya.

Beliau berkata, sebanyak tujuh kompaun dikeluarkan KPDN Johor mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 atas kesalahan gagal mempamerkan tanda harga di kawasan bazar serta premis awam sepanjang Ramadan.

"Jika pengguna mendapati ada peniaga ambil kesempatan menaikkan harga barang, sila buat aduan dan jangan tularkan dulu.

"Ini kerana apabila maklumat itu sampai kepada kita untuk dibuat pemeriksaan, peniaga sempat sembunyikan bukti-bukti berkaitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2024 @ 3:43 PM