GAMBAR hiasan. FOTO Farizul Hafiz Awang
GAMBAR hiasan. FOTO Farizul Hafiz Awang
BERNAMA

Johor Bahru: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor akan mengadakan Program Jualan Rahmah (PJR) secara luar premis dan bergerak di Pasir Gudang pada 29 dan 30 September ini.

Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo berkata dua lokasi dipilih iaitu Taman Pasir Putih dan Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Cendana.

"PJR kali ini menawarkan penjimatan harga barangan keperluan harian termasuk gula, tepung, telur ayam, ikan, ayam, beras, buah-buahan dan sayuran antara 10 hingga 30 peratus lebih murah daripada harga biasa," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau menasihati orang ramai agar membeli barangan mengikut keperluan dan tidak membeli secara berlebihan supaya tidak menimbulkan suasana pembelian panik dalam kalangan pengguna.

"Peniaga di negeri ini juga dinasihatkan agar mematuhi undang-undang ditetapkan kementerian (KPDN) dan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang sewenang-wenangnya," katanya.

Lilis Saslinda berkata setakat ini KPDN Johor tidak menerima sebarang aduan mengenai isu gangguan bekalan keperluan.

Namun, katanya, seramai 200 anggota penguat kuasa akan terus memantau dan melaksanakan pemeriksaan agar bekalan asas dan harian mencukupi bagi rakyat di negeri ini.

Katanya orang ramai boleh membuat aduan menerusi platform aduan KPDN di talian 1800-88-6800, nombor WhatsApp KPDN 019-2794317 atau berkunjung ke mana-mana pejabat KPDN di seluruh negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 11:26 PM