LILIS Saslinda menunjukkan daging lembu import yang dijual pada harga terkawal ketika tinjauan SHMPP Hari Raya Puasa 2024  di Pasaraya @Mart Kempas. FOTO Bernama
LILIS Saslinda menunjukkan daging lembu import yang dijual pada harga terkawal ketika tinjauan SHMPP Hari Raya Puasa 2024 di Pasaraya @Mart Kempas. FOTO Bernama
BERNAMA

Johor Bahru: Orang ramai diminta mengutamakan platform aduan rasmi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengenai salah laku peniaga, berbanding menularkannya di media sosial.

Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo berkata, perkara itu, bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil berhubung setiap aduan yang diterima.

"Kepada pengguna kita minta jasa baik mereka untuk janganlah terus menularkan kesalahan peniaga, sebaliknya datang ke KPDN dan buat aduan secara terus. Kita akan ambil tindakan mengikut undang-undang.

"Di Johor kita nampak ada kesedaran dalam kalangan peniaga, mereka semakin prihatin dengan peraturan, jika ada pun hanyalah kes-kes terpencil," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2024 Peringkat Negeri Johor di @Mart Kempas di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung salah laku peniaga termasuk tidak meletakkan tanda harga dan menjual barangan pada harga yang tidak berpatutan.

Lilis Saslinda berkata, KPDN Johor komited menjalankan program advokasi secara berterusan bagi memupuk kesedaran dalam kalangan peniaga khususnya melibatkan tanda harga, barangan kawalan dan harga berpatutan.

"Program advokasi akan diteruskan sepanjang tahun ini, KPDN Johor juga akan giat melakukan pemantauan dan penguatkuasaan agar peniaga-peniaga di negeri ini mematuhi peraturan ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 10:18 PM