ANWAR bersama Saarani (kanan) selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Pelan Induk KIGIP hari ini. FOTO Bernama
ANWAR bersama Saarani (kanan) selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Pelan Induk KIGIP hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Bagan Serai: Pengusaha bas sekolah dan syarikat yang tidak menerima subsidi susulan penyasaran subsidi diesel masih boleh merayu dan sekiranya layak, permohonan mereka akan dipertimbang.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan memastikan semua golongan sasar yang layak akan menerima bantuan itu.

"Kalau dia perlu dan memang untuk bas sekolah, kita bagi. Ya, boleh. Ada masa untuk merayu dan (kita akan) berikan tetapi kalau sengaja diambil peluang, kalau syarikat-syarikat besar, syarikat pelancongan yang untung besar, tak munasabah dapat subsidi.

"Subsidi ini (diberikan) kepada orang susah," katanya ketika berucap merasmikan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, sekali lagi memberi amaran kepada pengusaha bas sekolah yang menerima subsidi tetapi menaikkan harga tambang bahawa lesen mereka akan ditarik.

Beliau berkata, kerajaan turut mengambil maklum kebimbangan rakyat mengenai kenaikan harga barangan keperluan dan perkhidmatan susulan penyasaran subsidi diesel.

"Ada yang tanya, harga barang naikkah? Saya kata kita pantau.

"Ada orang anak naik bas sekolah, dia kata nak naik ke harga? Saya kata kita pantau, kita mahu semua yang layak dapat subsidi ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 4:58 PM