Mohd Rofik Mohd Yusoff
Mohd Rofik Mohd Yusoff
Mohd Amin Jalil


Seremban: Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) berharap kerajaan dapat menaikkan kuota subsidi sehingga 2,200 liter diesel sebulan bagi bas sekolah menerusi penyasaran subsidi diesel.

Presidennya, Mohd Rofik Mohd Yusoff berkata kuota subsidi yang dilaksanakan sebanyak 500 liter sebulan ketika ini tidak mencukupi, tambahan pula tiada kenaikan tambang sekolah dilakukan pengusaha.

"Kita minta kuota subsidi diesel itu dinaikkan kerana 500 liter tidak mencukupi. Kita minta kuota 1,200 liter bagi van manakala bagi bas panjang antara 1,800 hingga 2,200 liter.

"GPBSM juga berharap kadar harga subsidi diesel yang dinikmati pengusaha bas sekolah ketika ini iaitu RM1.88 seliter dapat dikekalkan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan akan terus menyediakan subsidi kepada peniaga yang menggunakan kenderaan komersial bermotor diesel melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Sepuluh kenderaan pengangkutan itu ialah bas sekolah, bas ekspres, bas henti-henti, bas pengantara, bas mini, kereta sewa, teksi, van atau lori mayat, ambulans dan bomba.

Mengulas lanjut, Mohd Rofik yang juga Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Negeri Sembilan (PPBSNS) menyifatkan langkah kerajaan untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel adalah satu tindakan terbaik.

Beliau berkata, langkah berani kerajaan itu diyakini dapat meminimumkan impak tekanan hidup rakyat yang berhadapan dengan kos sara hidup tinggi.

"Mewakili 20,000 pengusaha bas sekolah, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih atas pengumuman Perdana Menteri berhubung penyelarasan semula subsidi minyak diesel untuk kenderaan pengangkutan awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 10:58 AM