Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Bagan Serai: Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan terima kasih kepada Setiausaha Agung Pas yang disifatkannya sebagai memahami keperluan untuk penyasaran subsidi diesel dibuat.

Perdana Menteri berkata, semua Perdana Menteri dari berbilang parti politik yang mendahului beliau sebelum ini termasuk Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bersetuju bahawa mesti dibuat penyasaran subsidi bagi mengelakkan ketirisan yang banyak kepada kewangan negara.

Anwar bagaimanapun mengakui langkah kerajaan itu masih belum sempurna kerana terdapat beberapa kelemahan namun ianya akan diperbaiki dari semasa ke semasa.

"Saya (rasa) aneh kalau digunakan (isu subsidi) sebagai isu politik kerana semua parti politik setuju, dan saya ucap terima kasih kerana Setiausaha Agung Pas (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) sudah keluarkan kenyataan yang maknanya dia faham.

"Kerana dia pun pernah umumkan di Parlimen cadangan kerajaan pada ketika itu untuk naikkan harga diesel, tetapi kita dalam Kerajaan Madani ini naikkan tapi tidak membabitkan rakyat.

"Ketirisan banyak apabila kita bagi sekarang subsidi kepada yang maha kaya dan 3.8 juta orang asing yang tak bayar cukai. Tetapi bila dilaksanakan (penyasaran subsidi), saya percaya tidak akan sempurna sepenuhnya, ada beberapa kelemahan dan kita cuba perbaiki," katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Peluncuran Pelan Induk KIGIP di Dewan Dato' Zainal Abidin, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadhilah Yusof; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

ANWAR bersalaman dengan tetamu selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Pelan Induk Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) di Dewan Zainal Abidin Zin hari ini. FOTO Bernama
ANWAR bersalaman dengan tetamu selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Pelan Induk Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) di Dewan Zainal Abidin Zin hari ini. FOTO Bernama

Terdahulu, Takiyuddin menerusi kenyataan media berkata, Pas mengalu-alukan matlamat baik yang digariskan kerajaan berhubung langkah penyasaran subsidi diesel itu namun pada masa sama berasa perlu menyuarakan kebimbangan berkait pelaksanaannya, terutama sekali kemungkinan kesan negatifnya ke atas kehidupan rakyat

Anwar berkata, beliau sudah memberi arahan supaya memantau mana-mana pihak yang menjadikan isu penyasaran subsidi diesel ketika ini untuk mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang dan perkhidmatan, termasuk mengenakan hukuman berat seperti lesen dibatalkan.

"(Umpamanya) orang yang bawa bas sekolah yang katakan hendak naikkan harga. Saya kata pantau kalau betul dia dapat (subsidi), sebab kalau bas sekolah kita bagi subsidi. (Namun) sebab apa dia naik juga harga?

"Saya diarahkan supaya teliti dia sapa, tengok lesen dia dan kalau betul dia salah guna, kita akan rampas lesen dia. Tapi kalau dia perlu dan memang untuk bas sekolah, kita bagi, boleh ada masa untuk merayu dan berikan.

"Tetapi kalau sengaja diambil peluang, kalau syarikat-syarikat besar, syarikat pelancongan (umpamanya) yang untung yang besar munasabahkah dapat subsidi ini? Subsidi ini kepada orang susah," katanya.

Beliau berkata, kerajaan sedar polemik yang tercetus susulan daripada penyasaraan subsidi bahan bakar itu hingga rakyat menuduh kerajaan sebagai zalim namun baginya, jika tiada keberanian untuk melaksanakannya sekarang, tahun demi tahun kerajaan hanya melaksanakan dasar yang merugikan negara.

"Kerana kalau kita tak buat, maknanya tahun demi tahun tidak ada keberanian untuk laksanakan satu dasar yang tidak merugikan negara. Seperti RM4.5 bilion yang dapat kita jimatkan menerusi penyasaran subsidi tarif elektrik sebelum ini yang turut boleh dinikmati golongan 'maha kaya' selain 3.8 juta warga asing," katanya.

Anwar berkata, penarikan sesuatu subsidi tidak semestinya mengakibatkan kenaikan harga dengan memberikan contoh harga ayam segar yang ketika ini lebih murah berbanding tahun 2021 iaitu selepas pengapungan harga ayam dilaksanakan.

"Sebelum pengapungan harga ayam, setiap tahun negara berbelanja RM1.2 bilion yang mana ianya diperolehi oleh kartel. Jadi kita tarik balik RM1.2 bilion itu dan harga ayam kini tak naik malah lebih murah daripada tahun 2021.

"Wang yang dapat dijimatkan itu pula akhirnya diberikan kepada rakyat seperti melalui STR (Sumbangan Tunai Rahmah) seperti RM10 bilion yang diperuntukkan untuk STR tahun ini yang memanfaatkan 9 juta rakyat menerusi wang tunai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 5:03 PM