STEVEN Sim. FOTO Arkib BERNAMA
STEVEN Sim. FOTO Arkib BERNAMA
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong menekankan aspirasi Malaysia untuk menganjurkan Tahun Kemahiran ASEAN 2025 dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam sesi perbincangan bersama sembilan pemimpin ASEAN, di Geneva, Switzerland.

Langkah itu akan membuka jalan bagi Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan jabatan serta agensi seperti Human Resource Development Corporation (HRD Corp) untuk menerajui pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan tenaga kerja ASEAN.

Tahun Kemahiran ASEAN bakal menjadi usaha tepat memandangkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun hadapan yang akan memfokuskan kepada peningkatan integrasi serantau dengan memupuk perdagangan yang lancar, kerjasama ekonomi lebih mendalam, dan rantau saling berhubung.

"la juga akan menggalakkan pelaburan ke dalam tenaga kerja ASEAN dengan mengutamakan pembangunan kapasiti, pendidikan, dan pembangunan kemahiran untuk tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa depan.

"Ini akan dilakukan dengan tumpuan khusus pada bidang yang sedang meningkat naik seperti kecerdasan buatan (Al) dan teknologi semikonduktor," katanya.

Bercakap pada sesi berkenaan, Steven Sim berkata, sebagai pihak bertanggungjawab terhadap pembangunan dan pengurusan sumber manusia di Malaysia.

Menurut Steven Sim, Kesuma komited untuk memupuk tenaga kerja Malaysia yang kompeten, produktif, responsif dan berdaya tahan serta boleh bersaing dengan berkesan di pasaran global.

"Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan ILO dan semua pemimpin ASEAN dalam mencapai aspirasi ini menerusi Tahun Kemahiran ASEAN 2025.

"Saya yakin, melalui program yang dikenal pasti, kami dapat memudahkan pertukaran pengetahuan dan perkongsian amalan terbaik untuk meningkatkan kemahiran dan produktiviti tenaga kerja kami.

"Selain itu, kami juga dapat memupuk kerjasama dan perkongsian yang lebih kukuh antara negara anggota dalam melaksanakan strategi jangka panjang ke arah pembangunan modal insan," katanya.

Sementara itu, Ketua Kemahiran dan Kebolehkerjaan Pertubuhan Buruh Antarabangsa, Srinivas Reddy yang turut mengikuti perbincangan berkata, beliau percaya bahawa inisiatif dibuat memberikan impak positif kepada rantau ini.

"Malaysia menunjukkan kemajuan yang cemerlang dalam usahanya mempromosikan pembelajaran dan latihan kemahiran sepanjang hayat kepada rakyat di bawah pimpinan dan visi Menteri Sumber Manusia.

"Saya yakin bahawa ia akan berjaya memacu agenda pembangunan kemahiran untuk ASEAN tahun depan, selaras dengan kedudukannya mempengerusikan ASEAN," katanya.

Dalam pada itu, Srinivas turut berkongsi pengalamannya dalam menganjurkan Tahun Kemahiran Eropah pada 2023 dan 2024 serta kesan positif inisiatif berkenaan kepada kerajaan, perniagaan serta bakat di seluruh rantau berkenaan.

Sesi perbincangan pemimpin ASEAN dihadiri Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Brunei Datuk Awang Ahmaddin Abd Rahman, Menteri Tenaga Kerja Singapura Dr Tan See Leng, Timbalan Menteri Tenaga Kerja Indonesia Afriansyah Noor, Timbalan Menteri Buruh dan

Kebajikan Sosial Laos Inthalath Phongsaysack, Timbalan Menteri bagi Filipina Benedicto Ernesto Bitonio Jr dan Timbalan Menteri Tenaga Kerja Thailand Siraphop Duangsodsri.

Hadir sama, Duta dan Ketua Delegasi bagi Myanmar Ei Ei Tin, Wakil Tetap ke Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Perdagangan Dunia bagi Vietnam Mai Phan Dung Duta dan Setiausaha Negara Kementerian Buruh dan Latihan Vokasional (MLVT) bagi Kemboja Som Chamnan dan Ketua Pengarah untuk Pekerjaan dan Latihan bagi Timor-Leste Carlito Cabral.

Tahun Kemahiran ASEAN 2025 akan merangkumi pelbagai program dan inisiatif di seluruh Asia Tenggara.

Ia termasuk Persidangan dan Pameran Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE), acara utama tahunan HRD Corp yang menghimpunkan tokoh industri dari seluruh dunia untuk membincangkan cabaran dan peluang dalam pembangunan modal insan.

Pada 2024 dan 2025, NHCCE akan menumpukan keutamaan kepada masa depan pekerjaan untuk rantau ASEAN.

Perjumpaan itu sebahagian lawatan empat hari menteri ke Geneva merangkumi pengesahan Malaysia terhadap Konvensyen Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1981 (Konvensyen 155) ILO, penyampaian ucapan oleh Menteri pada Persidangan Buruh Antarabangsa ke-112, lawatan bersama rakan kongsi dan orang kenamaanĀ antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 4:20 PM