Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong,menghadiri Program Hari Bertemu Pelanggan dan Program Kesuma Madani Sambutan Tahun Baharu Cina 2024 dan seterusnya merasmikan program tersebut di Hotel Plaza Merdeka. FOTO NADIM BOKHARI
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong,menghadiri Program Hari Bertemu Pelanggan dan Program Kesuma Madani Sambutan Tahun Baharu Cina 2024 dan seterusnya merasmikan program tersebut di Hotel Plaza Merdeka. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Roji Kawi


Kuching: Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedia untuk membantu kerajaan Sarawak menyelaraskan Ordinan Buruh Sarawak dengan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 yang sudah berkuat kuasa di Semenanjung Malaysia.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata, Ordinan Buruh Sarawak perlu dipinda berikutan banyak perkara berhubung hak pekerja tidak selaras dengan Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, KSM dan kerajaan Sarawak kini dalam peringkat perbincangan berhubung usaha untuk meminda Ordinan Buruh Sarawak itu.

"Minggu lalu Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala mengadakan pertemuan dengan kami untuk berbincang isu itu dan beliau akan membawa hasil perbincangan ke Kabinet Sarawak.

"Saya yakin dengan kerjasama dan hubungan rapat antara KSM dengan kerajaan Sarawak, kita dapat mencapai kata putus untuk melaksanakan pindaan Ordinan Buruh Sarawak dalam masa yang terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Program Hari Bertemu Pelanggan dan Program Kesuma Madani Sambutan Tahun Baharu Cina 2024 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Sim berkata, pelarasan perlu kerana beberapa perkara dalam Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 seperti waktu bekerja dan gaji masih belum dimasukkan ke dalam Ordinan Buruh Sarawak.

"Justeru, kita mahu seragamkan semua perkara di dalam Akta Kerja itu dengan Sarawak dan Sabah," katanya.

Sementara itu, Sim berkata, seramai 10,000 rakyat Sarawak disasarkan untuk menyertai Minggu Latihan Kebangsaan anjuran KSM yang akan dilaksanakan oleh HRD Corp, Jun ini.

Menurutnya, tahun lalu seramai 2,500 rakyat Sarawak menyertai latihan itu dan kali ini lebih 100 kursus dalam pelbagai kemahiran disediakan.

"Minggu Latihan Kebangsaan antara pendekatan KSM untuk menyediakan latihan kemahiran selaras dengan hala tuju kerajaan Sarawak dalam pembangunan ekonomi hijau di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang dijangka menjana lebih RM300 bilion pelaburan menjelang 2030," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 3:44 PM