ISMAIL Sabri. FOTO BERNAMA
ISMAIL Sabri. FOTO BERNAMA
Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Malaysia menghargai sokongan kuat Australia terhadap usaha ASEAN untuk mengurangkan impak pandemik Covid-19, termasuk peruntukan AUD700 juta (kira-kira RM2.1 bilion) yang disediakan untuk pelaksanaan pelbagai inisiatif.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan itu sangat membantu ASEAN dalam meneruskan Rangka Kerja Pemulihan Komprehensif bagi melaksanakan strategi pemulihan ASEAN dan membina masa depan yang mampan serta berdaya tahan.

"ASEAN dan Australia seharusnya membuat persediaan terhadap kecemasan kesihatan awam serta penyakit baharu melalui pertukaran pengetahuan dan program pembangunan kapasiti, termasuk memanfaatkan teknologi digital.

"Satu lagi perkara yang menuntut perhatian kita adalah membabitkan kesihatan mental. Malaysia, Brunei dan Australia sentiasa bekerjasama rapat dalam hal ini," katanya ketika berucap secara dalam talian sempena Sidang Kemuncak ASEAN-Australia kali pertama hari ini.

Ismail Sabri berkata, Malaysia sudah melancarkan Pelan Strategik Kesihatan Mental 2022-2025 dan merancang untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Nasional.

Beliau berkata, sehubungan itu, Malaysia berharap dapat bekerjasama dengan negara anggota dan Australia untuk memastikan penjagaan kesihatan mental mudah diakses dan sedia ada melalui platform digital.

Selain itu, kata Ismail Sabri, Malaysia turut menantikan cadangan Mesyuarat Pakar Kesihatan Mental ASEAN-Australia.

Terdahulu, Ismail Sabri berkata, Malaysia menyokong peningkatan Dialog Hubungan ASEAN-Australia kepada perkongsian strategik yang komprehensif.

"Malaysia mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri Scott Morrison untuk tambahan bantuan AUD124 juta (kira-kira RM386 juta) bagi 10 tahun akan datang.

"Bidang kerjasama yang dicadangkan sangat relevan. Malaysia menantikan projek manfaat bersama membabitkan tiga tonggak komuniti ASEAN," katanya.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, bidang pendidikan juga adalah elemen penting dalam hubungan ASEAN-Australia.

Berikutan itu, beliau berkata, Malaysia memberi penekanan terhadap kepentingan latihan dan pendidikan vokasional teknikal serta bagaimana ia mampu menyumbang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta syarikat pemula.

Kata Ismail Sabri, ia memandangkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana menyumbang kepada 60 peratus peluang pekerjaan di rantau ini.

"Dalam memperkukuhkan kerjasama dalam bidang ini, ASEAN boleh bekerjasama dengan Australia untuk melengkapkan komuniti kurang diberi perhatian seperti belia, wanita dan kanak-kanak di rantau ini dengan kemahiran terutama sekali kemahiran teknologi komunikasi maklumat yang kritikal," katanya.

Beliau berkata, ia akan sangat membantu dalam menaik taraf dan melatih pekerja berkemahiran.

"Ia juga akan menaik taraf kualiti tenaga buruh, meningkatkan keberkesanan dan kecekapan perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta syarikat pemula.

"Ia seterusnya melonjakkan rangkaian bekalan serta produktiviti pengeluaran di rantau ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 5:48 PM