HUSAINI dan pasangan mendapat kejutan dirancang sahabatnya. FOTO tangkap layar TikTok
HUSAINI dan pasangan mendapat kejutan dirancang sahabatnya. FOTO tangkap layar TikTok
Redzuan Muharam


Melaka: Demi menghargai persahabatan yang sudah lama terjalin, Tarmizi Mustapha bersama sekumpulan rakannya membuat kejutan dengan mengundang kumpulan kompang, tabla serta tarian singa pada hari sahabat mereka, Husaini Sulaiman ditabalkan sebagai raja sehari.

Tarmizi, 36, berkata, kejutan itu dibuat ketika sahabatnya, Husaini Sulaiman, 29, melangsungkan majlis persandingan di Dewan Hang Tuah, di sini, pada 9 Jun lalu.

Katanya, Husaini tidak mengetahui kejutan itu kerana dia dan rakan lain mengadakan perbincangan secara rahsia.

"Saya berkawan rapat dengan Husaini sejak 15 tahun lalu dan kami sama-sama cari makan sebagai penarik beca.

"Jadi, apabila dapat tahu dia (Husaini) nak kahwin, salah seorang rakan kami beri idea mengundang kumpulan tarian singa dan pemain tabla bagi membuat persembahan sebagai kejutan pada majlis persandingan

"Kami kumpul duit untuk bayar kumpulan berkenaan serta rancang buat kejutan yang menjadi tradisi setiap kali ada antara kami berkahwin.

"Cuma kali ini kami buat kelainan dengan menghimpunkan kumpulan persembahan daripada tiga kaum berbeza dalam satu majlis," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, perancangan dibuat menjadi apabila berjalan sempurna daripada awal hingga akhir.

"Dia (Husaini) ingatkan ada kumpulan pemain kompang saja tapi terperanjat apabila tengok ada persembahan tarian singa dan tabla selepas berarak masuk ke dalam dewan.

"Risau juga jika dia dan pasangan serta keluarga tak boleh terima namun mereka gembira sangat serta ucap terima kasih kerana beri kejutan itu.

"Keluarga pengantin perempuan pun suka dan beritahu saya mereka tak pernah anjurkan majlis perkahwinan semeriah tempoh hari," katanya.

Tarmizi berkata, dia sempat merakam video sewaktu memberi kejutan kepada rakannya namun tak sangka ia akan tular hingga hampir dua juta tontonan selepas dimuat naik di TikTok.

"Sebenarnya, niat saya rakam dan muat naik video untuk kenangan saja tapi terkejut apabila tular sampai terima banyak notifikasi juga ribuan komen.

"Tapi lega kerana kebanyakan komen positif dengan rata-ratanya mendoakan sahabat saya, cuma ada juga segelintir individu yang persoalkan mengapa perkahwinan diadakan tak ikut tradisi serta adat Melayu kerana undang kumpulan tarian singa serta pemain tabla.

"Tapi saya tak ambil pusing pun kerana lebih memandang sudut positif. Sebagai sahabat, saya harap kejutan dibuat menjadi momen terindah yang akan dikenang Husaini sampai bila-bila dan semoga kami akan kekal bersahabat sampai syurga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 3:35 PM