NIK Ahmad Nadzeri menunjukkan kepakaran bermain yoyo bersama Afifah pada majlis perkahwinan mereka di Dewan Kosmos Bukit Jelutong, Shah Alam, hari ini. FOTO Roslin Mat Tahir
NIK Ahmad Nadzeri menunjukkan kepakaran bermain yoyo bersama Afifah pada majlis perkahwinan mereka di Dewan Kosmos Bukit Jelutong, Shah Alam, hari ini. FOTO Roslin Mat Tahir
Iskandar Shah Mohamed


PALUAN gendang disertai tarian singa dan 'silat yoyo' menggamatkan suasana majlis persandingan seorang pemain yoyo profesional di Dewan Kosmos, Bukit Jelutong, Shah Alam, hari ini.

Uniknya, Nik Ahmad Nadzeri Fathi Nik Khairuddin Fathi, 30, dan pasangannya, Afifah Mahmud, 29, turut dibawa dengan menaiki pacuan empat roda Land Rover Defender dan diiringi beberapa jip lain.

Kesempatan itu turut digunakan anak sulung daripada tiga beradik berkenaan untuk melakukan aksi bermain yoyo di hadapan ratusan tetamu yang hadir memeriahkan majlis.

Nik Ahmad Nadzeri yang juga akauntan sebuah syarikat minyak dan gas, berkata idea tarian singa itu tercetus hasil idea ahli keluarganya bagi menunjukkan semangat muhibah di negara ini.

"Kami berasakan tidak salah untuk berkongsi kegembiraan ini dengan cara seumpama itu, apatah lagi Malaysia terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama.

“Selain itu, saya mahu menghiburkan tetamu dengan persembahan yoyo yang sememangnya menjadi hobi utama sejak zaman persekolahan. Ia dimeriahkan dengan bantuan rakan (Hassan Marialis, 30) yang bermain yoyo sambil bersilat," katanya.

Paluan gendang dan tarian singa selama hampir 10 minit itu dipersembahkan Persatuan Tarian Naga dan Singa Hong Teck Klang, manakala kenderaan pacuan empat roda pula milik ahli Kelab 4X4 Redah.

Anak kelahiran Subang Jaya itu berkata, dia pernah mewakili negara untuk kejohanan yoyo di peringkat Asia Pasifik dan memperoleh tempat kedua dalam kejohanan di negara ini pada 2005.

"Minat terhadap yoyo bermula sejak saya masih bersekolah pada 1998 dan menyertai pelbagai pertandingan selain membuat persembahan di televisyen.

"Kini, saya lebih fokus kepada kerjaya, namun masih menjadikan yoyo sebagai permainan bagi mengisi masa lapang," katanya.

Pasangan itu diijabkabulkan di Seberang Jaya, Pulau Pinang (kampung halaman isteri) pada 10 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 9:33 PM