Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Selepas dua tahun "berehat" akibat pandemik Covid-19, "singa" dan "naga" kembali beraksi memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina kali ini yang akan dirai bermula esok.

Malah, sesetengahnya sudah sibuk menunjukkan kemahiran masing-masing sejak awal bulan ini, memenuhi undangan pelbagai pihak selepas kerajaan memberikan kebenaran untuk mereka membuat persembahan bersempena perayaan tersebut tahun ini.

Tarian singa atau "wu shi" dalam bahasa Mandarin boleh dianggap sebagai antara pelengkap sambutan Tahun Baharu Cina kerana kaum Tionghoa percaya tarian itu membawa tuah kepada mereka jika persembahan diadakan di kediaman atau premis perniagaan masing-masing.

Diiringi paluan gendang dan gong serta lagaan simbal, penari-penari di sebalik kostum singa atau naga menunjukkan ketangkasan melakukan pelbagai aksi akrobatik yang sering memukau perhatian penonton.

Peredaran masa juga menyaksikan kumpulan tarian singa dan naga kini tidak lagi hanya terdiri daripada kaum Cina, sebaliknya dianggotai pelbagai bangsa dan antara kumpulan tersebut ialah Persatuan Tarian Naga dan Singa Kun Seng Keng Kuala Lumpur.

AHLI BUKAN CINA

Jurulatihnya Yess Cheong memberitahu Bernama kumpulan yang dianggotai 40 penari berusia 13 hingga 30 tahun itu mempunyai 18 ahli daripada kaum Melayu, India dan etnik Sabah serta Sarawak.

"Kami menerima penyertaan daripada pelbagai kaum setiap tahun, sama ada permohonan daripada sekolah ataupun mereka yang datang sendiri," katanya, menambah mereka kini giat menjalani latihan selama empat hingga enam jam setiap hari sejak November lalu.​​​​​​

Bagi M Seliva Kumar, 21, dia tertarik untuk menyertai kumpulan tarian singa selepas menyaksikan persembahan tersebut kira-kira lima tahun lalu.

"Saya kagum dengan kebolehan mereka yang mampu melakukan aksi akrobatik seperti berdiri dan melompat di atas tiang. Selain itu, kostum yang berwarna-warni juga menceriakan suasana," jelasnya yang mengakui berasa bangga setiap kali tampil beraksi di hadapan penonton.

Menurut anak muda itu, walaupun perlu menjalani latihan intensif secara berterusan selain berulang-alik dari rumahnya di Sepang ke Kampung Baru Subang, Shah Alam setiap hari, dia tidak pudar semangat.

"Kami perlu mempelajari teknik bermain alat muzik seperti gendang, gong dan simbal dahulu sebagai permulaan, selepas sudah mahir barulah belajar aksi-aksi persembahan. Ini bagi membolehkan penari menguasai keseluruhan aspek tarian singa.

"Selain itu, kami juga perlu mewujudkan hubungan yang baik antara rakan-rakan sepasukan dengan semangat kerjasama dan disiplin yang tinggi. Tanpa kriteria ini kami tidak akan mampu mempamerkan persembahan yang baik mahupun menarik," ceritanya.

BELAJAR BUDAYA KAUM LAIN

N Vinay Raj, 17, pula berkata minatnya terhadap kesenian dan kebudayaan kaum Cina menjadi pendorong untuk dia mempelajari tarian singa sejak dua tahun lepas.

"Ketika saya di sekolah, saya melihat rakan-rakan saya terlibat dalam persembahan tarian singa sebagai aktiviti kokurikulum, jadi saya tergerak hati untuk menyertai mereka kerana berasa seronok menonton persembahan mereka.

"Selepas menyertai pasukan tarian singa, saya bukan sahaja dapat mempelajari tarian dan alat muzik, tetapi juga mengetahui lebih lanjut budaya dan kesenian kaum Cina daripada rakan-rakan sepasukan," kata pelajar Tingkatan Lima itu.

Bercerita lanjut, remaja itu berkata antara cabaran yang terpaksa diharungi ialah beraksi di atas tiang setinggi 2.5 meter.

"Penari perlu cekap mengimbangi badan dan mengukur jarak sebelum melakukan aksi melompat dari tiang ke tiang. Hanya kesilapan kecil boleh menyebabkan kami jatuh dan berisiko mengalami kecederaan," katanya yang pernah beberapa kali terjatuh ketika melakukan aksi itu pada peringkat awal.

Jelasnya, perbezaan latar belakang kaum juga tidak menghalang hubungan baik dalam kalangan ahli kumpulan.

"Kami bagaikan adik-beradik walaupun berlainan bangsa dan agama. Sokongan dan dorongan daripada rakan-rakan sepasukan dan jurulatih kami juga sangat penting untuk menaikkan semangat kami agar tidak berputus asa," katanya yang tinggal di Subang Jaya.

LATIHAN BERTERUSAN

Sementara itu Cheong yang terbabit dalam tarian singa sejak berusia 12 tahun berkata, aksi menari dan melompat di atas tiang memerlukan latihan yang berterusan bagi meningkatkan kekuatan fizikal selain menajamkan daya tumpuan penari.

"Biasanya dua penari akan berganding membuat aksi tarian singa di atas tiang dengan seorang di depan untuk menggerakkan kepala, manakala seorang lagi di belakang.

"Aksi ini memerlukan mereka sentiasa berkomunikasi dan masing-masing perlu tahu langkah dan aksi yang mahu dilakukan," katanya, menambah setiap ahli akan diberikan ujian kecergasan sebelum boleh dibenarkan beraksi di atas tiang.

"Ramai yang datang mempelajari tarian singa menyatakan hasrat untuk beraksi di atas tiang, namun saya sebagai jurulatih harus menilai kemampuan fizikal mereka terlebih dahulu," jelasnya.

Menurutnya lagi, persatuan itu yang ditubuhkan pada 2012 pernah menyertai pelbagai pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa, antaranya di Macau, Hong Kong dan China.

"Melalui penyertaan di pelbagai pertandingan ini kami dapat mempelajari perkara baharu daripada guru-guru tarian singa persatuan lain kerana cara mereka mungkin berbeza dengan kita.

"Secara tidak langsung juga kami dapat meningkatkan lagi kemahiran dan membaiki kelemahan untuk terus beraksi dan mengadakan persembahan lebih baik daripada sebelumnya," kata Cheong.

SOP KETIKA PERSEMBAHAN

Sementara itu, mengulas tentang prosedur operasi standard (SOP), Cheong berkata, memang agak mencabar untuk memastikan pematuhan SOP khususnya dari segi penjarakan fizikal.

"Ketika membuat persembahan, kami memerlukan sokongan badan kukuh yang melibatkan sentuhan fizikal, jadi agak sukar bagi kami sebenarnya untuk mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Namun demikian, kami cuba sedaya upaya untuk memendekkan masa persembahan dari dua hingga tiga jam sebelum ini kepada sejam sahaja di setiap venue persembahan," katanya.

Mengenai sambutan yang begitu memberangsangkan kali ini, katanya kelembapan ekonomi antara faktor ramai yang mengundang mereka mengadakan persembahan di premis masing-masing.

"Bagi masyarakat Cina, tarian singa atau naga ini bukan sekadar pertunjukan kebudayaan tapi mampu membawa tuah. Dalam keadaan ekonomi kurang stabil, mereka guna perkhidmatan kami dengan harapan perniagaan mereka bertambah baik pada masa akan datang," jelas Cheong.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 9:42 AM