Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Selepas menerima pelbagai pandangan bagi memeriahkan majlis persandingan dua anaknya, pasangan suami isteri, Mohamad Zamrin Mohamad Jabor serta Ailis Misliza Matsom, mengadakan Tarian Singa yang jarang-jarang diadakan di majlis perkahwinan masyarakat Melayu.

Menurut Mohamad Zamrin, 51, ketika mahu mengadakan majlis perkahwinan anak keduanya, Nornabila, 23, bersama suami, Zaid Amir Badarudin, 24, keluarga berpendapat hari bersejarah berkenaan perlu diadakan di Laman Sri Pinang, di sini.

Majlis juga dijalankan serentak bagi meraikan anak sulung, Narizzudin Mohamad Zamrin, 25, dan isterinya, Sharifah Nor Amiera Azhar, 24, yang lebih awal berkahwin iaitu pada Disember 2021 lalu tetapi tidak sempat diadakan majlis persandingan kerana ketika itu negara dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Hasil pandangan rakan pelbagai kaum, mereka mencadangkan supaya mengadakan persembahan Tarian Singa dan secara kebetulan, tidak lama lagi, kita akan menyambut Tahun Baru Cina," katanya ditemui, hari ini.

NORNABILA dan suami Zaid serta Norizzuddin dan isteri Sharifah menerima kejutan daripada keluarganya apabila majlis persandingan mereka diraikan dengan Tarian Singa. FOTO Azrul Edham
NORNABILA dan suami Zaid serta Norizzuddin dan isteri Sharifah menerima kejutan daripada keluarganya apabila majlis persandingan mereka diraikan dengan Tarian Singa. FOTO Azrul Edham

Katanya, atas semangat perpaduan, tetamu turut teruja dengan persembahan berkenaan.

"Kita sudah biasa disajikan dengan pertunjukan silat pada majlis perkahwinan namun jarang menyaksikan tarian ini.

"Bukan menidakkan budaya sendiri namun hanya mahukan sedikit kelainan untuk majlis perkahwinan anak," katanya.

Menurut beliau, tetamu datang seawal jam 11.30 pagi lagi malah sanggup menunggu sehingga jam 1 petang bagi menyaksikan persembahan kira-kira setengah jam itu.

Zamrin bersyukur kerana majlis itu berjalan dengan sempurna selain dihadiri masyarakat berbilang kaum.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 4:01 PM