FAHMI ketika majlis perasmian dan penyerahan Sumbangan Aidiladha di Mydin Mart Pantai Dalam, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
FAHMI ketika majlis perasmian dan penyerahan Sumbangan Aidiladha di Mydin Mart Pantai Dalam, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kementerian Komunikasi akan meminta semua penyiar stesen televisyen di negara ini untuk mengadakan perbincangan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia Malaysia (Yadim) bagi melakukan penyelarasan 'asatizah' yang dijemput.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata, pihaknya akan berhubung dengan Jakim dan Yadim berhubung penyelarasan garis panduan itu.

"Kita akan berhubung dengan pihak Jakim dan Yadim. Saya lihat mereka perlu bantu untuk meneliti 'asatizah' yang dijemput.

"Walaupun kita berikan ruang kepada semua (asatizah) tapi bila membabitkan aspek agama, saya rasa perlu ada sedikit penyelarasan dengan pihak Jakim dan Yadim.

"Saya akan meminta semua penyiar untuk mengadakan perbincangan dengan Jakim dan Yadim untuk penyelarasan itu," katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Mydin Mart Pantai Dalam dan Penyerahan Sumbangan Aidiladha di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab adakah akan ada garis panduan yang dibuat selepas ini kepada stesen televisyen mengenai pendakwah selebriti yang dijemput oleh mereka bagi mengendalikan sesuatu rancangan.

Semalam, Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman dilaporkan kecewa dan marah dengan sikap pendakwa bebas, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid yang seolah-olah tidak serik walaupun sudah ditegur berulang kali agar berhati-hati dalam percakapannya.

Bagaimanapun, Ustaz Don kemudian menyatakan bahawa berlaku salah faham apabila perkongsiannya dimanipulasi sehingga digugurkan daripada mengendalikan program terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Salam Baitullah.

Ustaz Don berkata, topik menghormati guru bukan hadis seperti didakwa segelintir pihak, sebaliknya petikan kitab tulisan iman Masjidil Haram.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, apa yang dinyatakan oleh Ustaz Don itu diserahkan kepada pihak Jakim untuk diteliti.

Katanya, disebabkan tindakan oleh Ustaz Don itu juga, satu masa juga perlu diberikan untuk menjemputnya semula.

"Pandangan (diberikan kepada Ustaz Don) sebelum ini telah diterima dan diberikan nasihat.

"Tetapi akibat tindakan baru-baru ini, saya rasa wajar untuk kita berikan sedikit masa sebelum kita jemput beliau semula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 12:51 PM