FAHMI berucap pada majlis perasmian dan penyerahan Sumbangan Aidiladha di Mydin Mart Pantai Dalam, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
FAHMI berucap pada majlis perasmian dan penyerahan Sumbangan Aidiladha di Mydin Mart Pantai Dalam, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Wujud perubahan yang sangat ketara sebelum dan selepas penyelarasan subsidi penjualan diesel pada 10 Jun lalu, kata Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil.

Beliau turut mengambil contoh laporan dikemukakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali kepada Jemaah Menteri mengenai penjualan diesel di beberapa stesen minyak di Selangor.

"Sebelum 10 Jun, ada sesetengah stesen minyak menjual diesel setiap hari kadang-kadang beribu atau berpuluh ribu liter walaupun stesen minyak itu tidak berdekatan dengan kilang atau sektor industri.

"Selepas 10 Jun, jumlah diesel yang dijual di stesen-stesen itu turun dengan mendadak," katanya pada Majlis Perasmian Mydin Mart Pantai Dalam dan Penyerahan Sumbangan Aidiladha di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin.

Pada 9 Jun lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata, harga diesel di semua stesen runcit di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter mulai 10 Jun.

Katanya, dengan mekanisme bantuan bersasar yang tersedia, kerajaan kini sudah bersedia untuk melaraskan harga diesel bagi semua negeri di seluruh Semenanjung Malaysia.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, perkara itu turut membuktikan kerja penyeludupan dan penyelewengan diesel berlaku sangat berleluasa.

Disebabkan itu katanya, tindakan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel itu adalah langkah yang betul dan tepat.

"Kumpulan yang paling tersakiti sekarang, kumpulan yang paling marah adalah kumpulan penyeludup kerana pendapatan mereka sangat terkesan.

"Tapi itu pada saya bukan pendapatan, itu 'mendapat' apa yang mereka sempat curi. Mereka curi dan buat keuntungan atas duit tuan puan juga. Kerajaan telah hentikan. Ini aktiviti haram," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 1:44 PM