Ustaz Don.
Ustaz Don.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, 40, bersyukur dia tidak dihalang untuk terus berdakwah selepas perjumpaannya dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Isnin lalu.

Pengurus kepada pendakwah itu yang dikenali sebagai Ana berkata, Ustaz Don juga tiada masalah untuk berdakwah walaupun di dalam program keagamaan dan kerohanian di televisyen.

"Perjumpaan Ustaz Don dengan Jakim berlangsung sangat baik. Malah, tiada halangan untuk Ustaz Don teruskan berdakwah walaupun di dalam program TV.

"Bagaimanapun, untuk kemunculan Ustaz Don dalam program Salam Baitullah, kami sedang menanti keputusan pihak tertinggi Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk kemasukan semula itu (selepas direhatkan)," katanya kepada Harian Metro menerusi kiriman mesej di WhatsApp.

Terdahulu, Ustaz Don dilaporkan 'direhatkan' daripada bersiaran di RTM untuk program Salam Baitullah terbitan stesen TV itu susulan isu pertikaian di media sosial berkaitan kisah hidup Nabi Muhammad SAW.

Keputusan berkenaan dimaklumkan sendiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman menerusi perkongsian dibuat beliau dalam hantaran ciapan di laman sosial X pada 5 Jun lalu.

Difahamkan, langkah 'direhatkan' itu dibuat RTM selepas Ustaz Don dikritik oleh beberapa pihak ekoran dakwaannya berkaitan kisah hidup Nabi Muhammad SAW.

Dalam dakwaan dibuat semasa bersiaran di sebuah stesen radio, Ustaz Don mendakwa Baginda pernah melamar seorang wanita, Ummu Hani sebanyak tiga kali dan cinta pertama Rasulullah.

Walaupun mendapat teguran beberapa tokoh agamawan, pendakwah terbabit bertegas dengan dakwaannya dan tidak membuat sebarang pembetulan.

Sehubungan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengeluarkan kenyataan menjelaskan mengenai isu terbabit dan kenyataan mengenai Ummu Hani sebagai cinta pertama Nabi Muhammad SAW turut diragui.

Program Salam Baitullah adalah sebuah rancangan RTM yang bersiaran pada musim haji bermula 2 Jun sehingga 17 Jun ini.

Justeru, Ustaz Don yang dipanggil oleh Jakim dalam pertemuan singkat baru-baru ini turut disertai wakil daripada Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Kementerian Dalam Negeri dan Ustaz Fawwaz Fadhil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2024 @ 1:40 PM