FOTO Safuri Kamaruddin
FOTO Safuri Kamaruddin
Safuri Kamarudin

Baling: Beberapa rumah dan kedai makan di daerah ini rosak apabila bumbung diterbangkan angin dalam kejadian hujan lebat dan ribut.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang, hari ini, beberapa pokok turut tumbang dan menghempap kediaman penduduk.

Peniaga kedai makan, Soria Mat Zanu, 48, berkata, dia yang ketika itu sedang melayan pelanggan terkejut apabila tiba-tiba angin kuat dan hujan lebat sebelum bumbung diterbangkan angin.

Menurutnya, kejadian itu tidak sampai lima minit dan pelanggannya basah kuyup namun mujur mereka terselamat.

Peniaga kedai pakaian terpakai Mohd Fikri Mohd Salleh, 28, pula berkata, ribut itu berlaku sekelip mata ketika dia sedang menyusun baju.

“Saya berlari keluar dan melaung azan sebelum melihat bumbung diterbangkan angin menyebabkan pakaian basah. Akibat kejadian itu, saya kerugian kira-kira RM10,000,” katanya.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling, Shamsul Izrin Isahak berkata, JKM sedang mengumpul maklumat dan jumlah mangsa belum dikenal pasti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2015 @ 9:26 PM