khemah  seorang peniaga koyak dipukul ribut malam kelmarin.
khemah seorang peniaga koyak dipukul ribut malam kelmarin.
SEORANG penduduk menunjukkan bumbung rumahnya yang tercabut.
SEORANG penduduk menunjukkan bumbung rumahnya yang tercabut.
Oleh Naqiukamil Abdullah

Klang: “Ketika sedang memberi kucing makan di luar rumah, tiba-tiba saya dikejutkan dengan bunyi kuat sebelum ternampak ‘pusaran angin’ seperti puting beliung dan segera memanggil suami yang ketika itu berada di dalam rumah,” kata Zabariah Ali, 45, mengenai kejadian ribut di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, lebih 50 rumah dan gerai di sekitar Kampung Sungai Udang, Telok Pulai dan Kampung Delek di sini, rosak akibat dilanda ribut.

“Saya menggigil ketakutan dan sempat berpesan kepada suami supaya melaungkan azan dan berdoa supaya dijauhkan daripada musibah.

“Syukur kerana beberapa saat selepas suami melaungkan azan, ribut semakin reda dan tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa walaupun terdapat sesetengah penduduk serta peniaga mengalami kerugian harta benda,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, semalam.

Sementara itu, peniaga Abdul Khir Said berkata, kejadian ribut kelmarin adalah yang terburuk pernah melanda kawasan itu.

“Sebelum ini ribut pernah melanda beberapa kali namun kejadian kali ini lebih kuat impaknya berikutan banyak pokok tumbang serta bumbung rumah dan gerai di sekitar Kampung Delek terjejas teruk.

“Ketika kejadian, saya tergerak hati untuk melihat keadaan gerai selepas mendengar berita kawasan sekitar dilanda ribut dan tidak menyangka gerai kami turut musnah termasuk kediaman adik yang berada di kawasan berdekatan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2015 @ 5:24 AM