ANUAR menunjukkan   bumbung kedainya yang diterbangkan ribut  di Jalan Changkat Asa.
ANUAR menunjukkan bumbung kedainya yang diterbangkan ribut di Jalan Changkat Asa.
Amrullah Abdul Karim


Hulu Bernam: “Melihat bumbung kedai tercabut di depan mata, saya segera mengarahkan pelanggan dan pekerja keluar menyelamatkan diri,” kata peniaga kedai runcit, Anuar Akman, 42.

Dalam kejadian 3.30 petang kelmarin, premis itu antara 65 kediaman penduduk di Kampung Hassan dan Taman Seri Geriang di sini, yang rosak diterbangkan angin akibat dilanda ribut.

Ia turut mengakibatkan beberapa pokok tumbang dan menghalang beberapa laluan utama selain beberapa kediaman turut terputus bekalan elektrik.

Namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut meninjau serta menghulurkan bantuan kepada mangsa.

Menceritakan kejadian itu, Anuar berkata, walaupun ribut itu berlaku dalam tempoh hanya lima minit, kesan kerosakan dialami penduduk agak besar.

“Pada waktu itu, cuaca belum hujan namun saya dapat mendengar bunyi angin kencang dari arah Kampung Hassan menghala ke kedai ini.

“Dalam sekelip mata, angin kemudian menerbangkan bumbung kedai dan hujan lebat. Mujur tiada sesiapa tercedera dalam kejadian itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Tinjauan Harian Metro mendapati rata-rata penduduk sedang sibuk membaiki bumbung rumah masing-masing dan ada kediaman yang masih terjejas.

Sementara itu, mangsa, C Thivani, 17, berkata dia terkejut melihat bumbung rumahnya di Kampung Hassan diterbangkan angin ketika berehat bersendirian di ruang tamu.

“Saya ketika itu menangis ketakutan dan segera berlari keluar menuju ke rumah jiran.

“Bimbang kejadian lebih buruk berlaku, saya kemudian menghubungi ibu (A Tresa, 36) memaklumkan kejadian itu,” katanya memaklumkan beberapa barangan rumah itu rosak akibat dimasuki air.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2017 @ 5:37 AM