Keadaan beberapa gerai peniaga di Laguna Merbok, Sungai Petani yang rosak dalam kejadian ribut hari ini. Foto Nor Farhani Che Ad
Keadaan beberapa gerai peniaga di Laguna Merbok, Sungai Petani yang rosak dalam kejadian ribut hari ini. Foto Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad


DUA peniaga cedera dihempap pokok tumbang dalam kejadian ribut di Laguna Merbok, Sungai Petani dalam kejadian kira-kira 3 petang hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa seorang wanita berusia 39 tahun dikatakan patah tangan kanan, manakala seorang lagi mangsa iaitu lelaki berusia 47 tahun cedera di dada.

Kejadian itu juga menyebabkan kira-kira 25 gerai di kawasan berkenaan rosak dipukul ribut, manakala sebahagian lagi rosak akibat dihempap pokok.

Seorang peniaga yang menyaksikan kejadian, Fatimah Salleh, 48, berkata, sebelum kejadian dia melihat pusaran angin kelabu menghampiri deretan kedai berkenaan.

“Saya minta suami pegang khemah gerai kerana bimbang diterbangkan angin sambil dia melaungkan azan.

“Kira-kira lima minit kemudian, pusaran angin kedua yang lebih kuat melanda menyebabkan beberapa pokok tumbang dan menghempap khemah, selebihnya diterbangkan angin,” katanya ketika ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, kebanyakan peniaga di situ tidak sempat menyelamatkan diri hingga ada peniaga terperangkap di bawah khemah yang dihempap pokok tumbang.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani Pegawai Bomba Kanan II Mohd Zaki Senik berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pokok tumbang pada 3.42 petang sebelum lima anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi.

“Ketika tiba, beberapa gerai didapati rosak dihempap pokok dan difahamkan terdapat dua mangsa yang cedera.

“Bagaimanapun, kedua-dua mangsa sudah dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk menerima rawatan,” katanya.

Menurutnya, kerja memotong pokok dilakukan dengan kerjasama Unit Kecemasan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) bagi membolehkan peniaga mengambil barangan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 6:39 PM