DZULKEFLY  (tengah) beramah mesra bersama pesakit ketika mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Air Putih, Balik Pulau. FOTO Mikail Ong
DZULKEFLY (tengah) beramah mesra bersama pesakit ketika mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Air Putih, Balik Pulau. FOTO Mikail Ong
Siti Aminah Mohd Yusof

Balik Pulau: Kementerian Kesihatan Malaysia berhasrat mempertimbangkan insentif bagi menarik lebih ramai doktor perubatan mengkhususkan diri sebagai pakar bidang geriatrik, memandangkan Malaysia sedang menuju negara tua.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, menjadi cabaran meningkatkan bilangan pakar geriatrik dengan secara purata hanya tiga hingga lapan pelajar perubatan direkodkan mengikuti pengajian dalam bidang tersebut di universiti awam negara ini.

Katanya, Universiti Malaya menjadi satu-satunya Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dalam negara yang menawarkan program pengajian geriatrik di negara ini dan bidang itu.

"Mungkin kita akan berbincang dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengenai program sarjana perubatan pada masa depan nanti untuk mempertingkatkan jumlah pakar geriatrik dan ini akan menjadi komitmen tambahan KKM.

"Ini kerana negara sedang beralih kepada satu transisi demografik yang mana menjelang 2030 kita akan memiliki 15 peratus daripada jumlah penduduk negara berumur lebih 65 tahun," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, Malaysia pada ketika ini mempunyai 33 pakar geriatrik di hospital kerajaan, 13 di hospital universiti dan 14 di hospital swasta dan jumlah itu dilihat masih belum mencukupi untuk memenuhi keperluan negara pada masa depan.

"Jadi adalah penting untuk meningkatkan jumlah doktor dalam bidang tersebut. Pada masa yang sama, kita perlu menggerakkan lebih ramai yang berminat, mungkin dengan memberi insentif supaya mereka memilih bidang kepakaran ini.

"Mungkin kita akan berbincang dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengenai program Perubatan pada masa depan nanti untuk mempertingkatkan jumlah pakar geriatrik dan ini akan menjadi komitmen tambahan KKM," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata pada ketika ini, KKM diizinkan mengisi lapan perjawatan bagi pengambilan doktor pakar geriatrik setahun namun berikutan kekurangan individu berkelayakan, jumlah itu ada masanya tidak dipenuhi.

"Cuma kadang-kadang kita tidak menawarkan jawatan itu kepada ramai doktor. Sebenarnya, kalau kita dapat lima orang setahun pun kita sudah rasa gembira," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2024 @ 3:31 PM