Sultan Sharafuddin (dua dari kiri) melihat Amirudin Shari (dua dari kanan) melakukan pemeriksaan kesihatan semasa berkenan ke tapak pameran pada  Perasmian Sambutan Hari Warga Emas Sedunia Peringkat Negeri Selangor 2023 dan Kempen Sihat Milik Selangor 3.0 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam hari ini. Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni (tiga dari kiri). FOTO BERNAMA
Sultan Sharafuddin (dua dari kiri) melihat Amirudin Shari (dua dari kanan) melakukan pemeriksaan kesihatan semasa berkenan ke tapak pameran pada Perasmian Sambutan Hari Warga Emas Sedunia Peringkat Negeri Selangor 2023 dan Kempen Sihat Milik Selangor 3.0 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam hari ini. Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni (tiga dari kiri). FOTO BERNAMA
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuka peluang kepada pegawai perubatan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang geriatrik dalam usaha melahirkan lebih ramai pakar.

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata, setakat ini KKM mempunyai seramai 34 pakar geriatrik di seluruh negara.

Menurutnya, KKM juga akan memberi fokus terhadap perkhidmatan geriatrik di fasiliti kerajaan sedia ada, bukan sahaja di Selangor tetapi seluruh negara yang mana ia juga adalah hasrat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Kajian World Bank Group 2020 di Malaysia menunjukkan tidak semua warga emas menua dengan sihat. Secara amnya, Malaysia menunjukkan peningkatan beban penyakit kronik seiring dengan pertambahan jangka hayat.

"Ini terbukti dengan hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (National Health and Morbidity Survey, NHMS) 2018 yang menunjukkan sebanyak 50 peratus warga emas menghidap hipertensi dan hiperlipidemia, manakala sebanyak 28 peratus pula mengidap kencing manis.

"Justeru, KKM komited kepada Dasar Kesihatan Warga Emas Negara yang dibangunkan untuk membina warga emas yang berdikari, bermartabat diri dan dihormati dengan mengoptimakan potensi diri melalui penuaan sihat, positif, aktif, produktif dan menyokong untuk peningkatan kesejahteraan hidup dalam pembangunan negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Warga Emas Sedunia Peringkat Selangor 2023 dan Kempen Sihat Milik Selangor 3.0, di sini, hari ini.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli hadir merasmikan program itu.

Mengiringi baginda adalah Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jumlah nisbah pakar geriatrik yang disarankan di Malaysia adalah 600 orang.

Lukanisman berkata, fasiliti geriatrik KKM perlu menyediakan perkhidmatan fisioterapi lebih baik dan menepati keperluan warga emas di samping perkhidmatan jagaan lebih komprehensif.

Katanya, pada masa sama KKM juga akan mewujudkan Pusat Geriatrik Negara yang kini dalam perbincangan bagi memberi perkhidmatan lebih komprehensif kepada warga emas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 5:37 PM