PENJAGAAN geriatrik dapat membantu warga emas menikmati kualiti hidup lebih baik.
PENJAGAAN geriatrik dapat membantu warga emas menikmati kualiti hidup lebih baik.
Oleh Hartini Mohd Nawi


PADA asasnya, jika ingin menyembuhkan sesuatu penyakit kita perlu mencari punca kesakitan dan merawat simptom yang berlaku. Misalnya jika patah kaki, maka perlu dirujuk kepada pakar ortopedik untuk membantu menyembuhkannya.

Namun apabila membabitkan keadaan kesihatan golongan warga emas, rawatan diperlukan bukan sekadar membawa mereka berjumpa doktor yang betul untuk merawat simptom dialami semata-mata.

Malah, mereka memerlukan perhatian terperinci daripada pakar geriatrik yang bukan sahaja melihat masalah perubatan mereka, tetapi memberi perhatian kepada fungsi fizikal, fungsi intelek, kesejahteraan emosi dan memberi sokongan sosial apabila diperlukan.

Apabila populasi dunia semakin meningkat usianya, penjagaan geriatrik antara aspek penting dalam fasiliti penjagaan kesihatan.

Menurut Pakar Perunding Geriatrik dari Pusat Perubatan Sunway Bandar Sunway, Dr Teh Hoon Lang berkata, pakar geriatrik bukan sahaja berperanan mendiagnosis isu perubatan berbangkit, tetapi memahami pesakit secara menyeluruh.

"Sesetengah masalah dalam kalangan pesakit lebih tua mungkin tidak dapat dikenal pasti melalui pemeriksaan biasa, tetapi 'sentuhan' pakar geriatrik boleh membuka hati mereka.

"Sentuhan manusia sangat penting dalam amalan perubatan. Ia adalah sesuatu yang kita masih perlukan walaupun dengan kemajuan teknologi," kata Dr Teh.

Merungkai makna perubatan geriatrik, ia perkhidmatan kesihatan khusus dan unik. Malah, ia menyediakan penjagaan komprehensif dan secara individual, selain membabitkan pelbagai disiplin untuk warga emas demi meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan mereka.

PERHATIAN khusus perlu diberikan kepada warga emas.
PERHATIAN khusus perlu diberikan kepada warga emas.

PENDEKATAN kolaboratif memastikan semua aspek kesihatan golongan warga emas dapat dikenal pasti.
PENDEKATAN kolaboratif memastikan semua aspek kesihatan golongan warga emas dapat dikenal pasti.

"Pakar geriatrik mahir dalam mengenal pasti keadaan kesihatan berkait usia, gangguan fungsi, kemerosotan kognitif dan isu psikososial yang biasanya terjadi kepada warga emas.

"Misalnya, kerap memendam rasa kerana kebanyakan mereka tidak begitu terbuka berkenaan kesedihan, kebimbangan atau penyakit yang dialami.

"Dengan pemeriksaan menyeluruh, pakar penjagaan geriatrik boleh merancang pelan penjagaan peribadi berpadanan dengan keperluan khusus individu untuk membuatkan mereka berasa yakin dan selesa," katanya.

Sebagai contoh, apabila pesakit warga emas jatuh, pakar geriatrik dilatih bukan sahaja untuk memulihkan tulang yang patah, tetapi mengenal pasti punca pesakit jatuh.

"Mungkin pesakit ada masalah penglihatan atau mungkin kakinya tiada rangsangan yang membuatkan dia tidak dapat berjalan dengan betul.

"Pesakit juga mungkin jatuh disebabkan masalah jantung yang tidak diketahui. Sebagai pakar geriatrik, kami akan cuba betulkan masalah itu.

"Kemudian kami akan kuatkan tulang mereka. Jika pesakit ada masalah osteoporosis, kami akan merawatnya supaya mengurangkan risiko patah tulang pada masa hadapan. Tetapi yang paling penting, kami akan cuba mengembalikan fungsi pesakit kepada yang sebelumnya sebanyak mungkin," katanya.

Dr Teh berkata, selain rawatan perubatan dan penyembuhan fizikal akibat kecederaan, penjagaan geriatrik mengiktiraf kepentingan intervensi gaya hidup dalam menggalakkan proses penuaan yang sihat.

ASPEK penjagaan geriatrik juga mengiktiraf kepentingan intervensi gaya hidup dalam menggalakkan proses penuaan yang sihat.
ASPEK penjagaan geriatrik juga mengiktiraf kepentingan intervensi gaya hidup dalam menggalakkan proses penuaan yang sihat.

"Beberapa intervensi mungkin tidak terhad kepada program senaman, kaunseling pemakanan, rangsangan kognitif, pembabitan sosial serta pengurusan ubat-ubatan semata-mata.

"Ini kerana warga emas sering menghadapi masalah yang dikenali sebagai 'geriatrik giants' dan ia merangkumi lima I iaitu 'intellectual impairment' (kemerosotan intelek), 'instability' (tidak stabil dan senang jatuh), 'immobility' (kesukaran untuk bergerak), 'incontinence' (tidak boleh kawal kencing atau berak), dan 'iatrogenic' (sebarang kesan samping akibat daripada rawatan diberi kepada pesakit).

"Oleh itu, pakar geriatrik biasanya bekerja dengan tenaga pakar pelbagai disiplin antaranya pakar perubatan, jururawat, pegawai pemulihan fizikal, pegawai pemulihan cara kerja, pegawai farmasi, dan ada kalanya pekerja sosial," katanya.

Pendekatan kolaboratif sedemikian dapat memastikan semua aspek kesihatan golongan warga emas dapat dikenal pasti, sekali gus membuahkan hasil rawatan yang lebih berkesan dan komprehensif.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2023 @ 7:00 AM