Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kerajaan dicadang mempertimbangkan tawaran kontrak sehingga lima tahun kepada pakar perubatan di bawah Kementerian Kesihatan yang sudah bersara.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia supaya kepakaran golongan itu dapat diperturunkan kepada pegawai perubatan sedia ada dan penuntut perubatan.

"Semalam, kita ada mesyuarat dengan KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) yang mana mereka adakan kursus atau latihan kepakaran dan mereka juga tak cukup tenaga pengajar.

"Jadi, kalau kita boleh guna pakai idea ini (kontrak untuk pakar bersara) dan ketengahkan, mungkin akan membantu untuk kita tingkatkan tenaga pengajar kepakaran di universiti-universiti tempatan.

"Pada masa sama, di KKM (Kementerian Kesihatan) juga boleh meningkatkan lagi perkhidmatan kepakaran kepada rakyat Malaysia.

"Ini satu cadangan tetapi kita harap dapat dipertimbangkan supaya mereka (yang sudah pencen) dapat diberikan kontrak, supaya dapat berkhidmat dengan kerajaan dan hospital kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sambutan Hari Penglihatan Sedunia Tahun 2022 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, setakat ini, pakar perubatan yang sudah bersara tidak ditawarkan kontrak tetapi berkhidmat di hospital kerajaan secara sessional iaitu berkhidmat untuk tempoh 10 jam seminggu.

"Tetapi ada baiknya kalau kita boleh berikan mereka kontrak untuk tempoh lima tahun, tetapi (cadangan) masih diperingkat awal.

"Selain persetujuan dua kementerian iaitu KKM dan KPT, kita kena dapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan sebagainya," katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, setakat ini, terdapat lebih 6,000 doktor pakar di hospital di seluruh negara dengan 150 hingga 200 orang akan bersara pada setiap tahun.

Katanya, terdapat sebanyak 150 hospital di seluruh negara dengan 60 daripadanya mempunyai doktor pakar dalam pelbagai bidang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 4:17 PM
Dr Noor Hisham semasa sidang media selepas merasmikan  Sambutan Hari Penglihatan Sedunia (World Sight Day) Tahun 2022 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam Kuala Terengganu.  FOTO GHAZALI KORI
Dr Noor Hisham semasa sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Penglihatan Sedunia (World Sight Day) Tahun 2022 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam Kuala Terengganu. FOTO GHAZALI KORI