- Foto hiasan
- Foto hiasan
Asrol Awang


Kuantan: Seorang pekerja kebun warga Indonesia maut manakala rakannya cedera dalam pergaduhan membabitkan tiga individu di tepi jalan kawasan Tringkap, Cameron Highlands, malam tadi.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, dalam kejadian jam 11 malam itu, lelaki yang maut itu berusia dalam lingkungan 50-an manakala rakannya berusia 30-an.

Katanya, siasatan awal mendapati pergaduhan itu berpunca apabila dua mangsa dan seorang suspek yang juga warga Indonesia bertengkar di tepi jalan tetapi motif kejadian masih lagi dalam siasatan.

"Akibat pergaduhan itu, seorang lelaki maut manakala rakan mangsa pula cedera. Berikutan itu, kita sedang mengesan suspek yang berumur 30-an," katanya ketika ditemui media selepas mengunjungi rumah keluarga Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq di Taman Seri Mahkota Jaya, Batu 11, Jalan Gambang, di sini hari ini.

Yahaya menyampaikan sumbangan daripada ketua-ketua jabatan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang kepada keluarga Muhamad Syafiq yang terkorban dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, 17 Mei lalu.

Turut sama menyampaikan sumbangan ialah bekas Timbalan Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kuala Lumpur dan Selangor, M Jayabarathi.

Yahaya berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Oleh itu, kita meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu tampil untuk membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2024 @ 6:27 PM