ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa. FOTO ihsan bomba
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Dua lelaki yang maut apabila kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang besar di hadapan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya, Jalan Jelapang-Chemor, di sini, pagi tadi disahkan sebagai adik-beradik.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pemandu berusia 22 tahun serta abangnya berusia 29 tahun yang berada di tempat duduk penumpang hadapan dalam perjalanan pulang dari rumah rakan di Kuala Kangsar ke Taman Desa Meru, di sini.

Yahaya berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati Honda Accord dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas melanggar pembahagi kiri bahu jalan menyebabkan ia jatuh ke dalam longkang besar.

Menurutnya, berdasarkan keterangan saksi, tiada kenderaan lain berada berdekatan pada ketika itu.

"Kedua-dua mangsa tersepit dalam kereta dan dikeluarkan oleh anggota bomba. Mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Punca kemalangan adalah disebabkan kereta dinaiki mereka hilang kawalan dan terbabas jatuh dalam longkang," katanya ketika dihubungi tadi.

Katanya, pemandu adalah penuntut sebuah universiti awam manakala abangnya bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat swasta di Singapura.

Yahaya berkata, kes diklasifikasi mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pagi tadi, media melaporkan salah seorang mangsa yang maut dikenali sebagai R Dhaarnish, 29.

Nahas jam 5.19 pagi itu berlaku ketika paras air longkang terlalu cetek dan mangsa maut disebabkan tersepit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2023 @ 1:27 PM